Undang Yang Empat dakwa kemelut didalangi pihak tertentu

Undang Yang Empat dakwa kemelut didalangi pihak tertentu

UNDANG Yang Empat ketika ditemui pemberita pada sidang akhbar di Kediaman Rasmi dan Balai Undang Luak Sungei Ujong, Ampangan, Seremban, hari ini.- UTUSAN/NOR SHAFIQAH MOHD. GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Undang Yang Empat mempersoal usaha pihak tertentu yang didakwa cuba mencabuli prerogatif dan hak perlembagaan mereka berhubung kedudukan Raja Pemerintah Negeri Sembilan.

Kenyataan bersama Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin itu dibacakan Undang Luak Sungei Ujong, Datuk Mubarak Dohak, yang mendakwa kemelut berpanjangan itu berpunca daripada tohmahan pihak tertentu.

Menurut kenyataan itu, dakwaan bahawa Menteri Besar, Datuk Seri Ismail Lasim bersama barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bertanggungjawab terhadap penurunan takhta Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir adalah fitnah yang didakwa dirancang demi kepentingan peribadi pihak tertentu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tohmahan pihak tertentu bahawa penurunan takhta Tuanku Muhriz telah dibuat oleh Menteri Besar serta Exco adalah satu fitnah jahat yang dirancang demi kepentingan peribadi kumpulan tertentu yang sebenarnya adalah asalnya punca dan dalang kepada kemelut berpanjangan ini.

“Menteri Besar dan Exco sama sekali tidak mempunyai kuasa itu sebaliknya hanya melaksanakan tugas perlembagaan bagi mematuhi ketetapan Kami selaku Undang Yang Empat di bawah Perkara 10 UUTKNS 1959 di samping memelihara kedudukan Kami sebagai Raja Pemerintah Negeri ini sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 28 UUTKNS 1959,” katanya pada sidang akhbar di Kediaman Rasmi dan Balai Undang Luak Sungei Ujong di Ampangan, hari ini.

Dalam pada itu, mereka turut mengingatkan sekali lagi agar pihak luar tidak mencampuri segala urusan pemerintahan kerajaan negeri itu.

Katanya, sebarang tindakan pihak luar melalui yang boleh menjejaskan pentadbiran eksekutif kerajaan negeri perlu dielakkan, selaras dengan prinsip keluhuran Perlembagaan dan konsep federalisme.

“Kami juga menegaskan supaya semua pihak luar yang tiada kena-mengena dengan hal adat Melayu dan pemerintahan Kerajaan Negeri ini terutamanya parti politik pembangkang untuk tidak menaguk di air keruh dan memutarbelitkan fakta sehingga mengeluarkan komen jelek terhadap kerajaan negeri dan Institusi Adat serta Pemerintahan Negeri Sembilan.

“Tiada mana-mana parti politik yang mempunyai kuasa menurunkan mana-mana Raja. Kuasa itu diperuntukkan semata-mata kepada punca kuasa yang sah dan konteks Negeri Sembilan ia adalah kuasa Undang Yang Empat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×