KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) memperkenalkan Agenda Malaysia Biru menjelang 100 tahun usia kemerdekaan Malaysia dengan lapan ikhtiar utama untuk membentuk hala tuju negara sekiranya ditakdirkan menerajui Putrajaya kelak.
Agenda Malaysia Biru yang digagaskan itu membawa maksud berdaulat dan bersatu; inovatif dan berpendapatan tinggi; rakyat makmur dan saksama serta unggul dan disegani dunia.
Tujuan Agenda Malaysia Biru digagaskan adalah untuk menjadikan Malaysia muncul sebagai kuasa pertengahan paling berpengaruh di dunia dengan setiap perjanjian strategik utama tetap mempertahankan kepentingan nasional.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN berhasrat untuk mencipta kekayaan negara, memperluaskan pemilikan, menjaga kesejahteraan, menghadapi krisis, memelihara rakyat, membina kepercayaan dan mempertahankan kepentingan nasional.
Katanya, lapan ikhtiar itu adalah menjadikan Malaysia negara pencipta, berkemahiran, pemilik, sejahtera, berdaya tahan, peduli, beramanah, dan berdaulat.
“Ikhtiar pertama iaitu menjadikan Malaysia negara pencipta. Kita bermula sebagai negara pertanian, kemudian melakukan lonjakan perindustrian, kini kita mesti melakukan anjakan seterusnya iaitu menjadi negara pencipta.
“Kita mahu dunia menggunakan teknologi ciptaan anak bangsa, membeli jenama Malaysia. Bergerak daripada Made in Malaysia kepada Made by Malaysia. Negara mesti meletakkan sasaran syarikat teknologi dan industri bertaraf global yang invented, designed and owned by Malaysian (mencipta, mereka dan dimiliki oleh orang Malaysia),” katanya dalam Ucapan Dasar Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026, di sini, hari ini.
Dalam ikhtiar kedua, iaitu berkemahiran, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, beliau mahu pelajar Politeknik, GiatMara, Institut Kemahiran Mara (IKM) dan Huffaz Profesional bersama membentuk Malaysia sebagai negara berkemahiran tinggi dengan mengarusperdanakan TVET.
Katanya, agenda itu mensasarkan 80 peratus tenaga kerja negara berada dalam kategori berkemahiran tinggi dan memperolehi gaji premium.
“Dalam ikhtiar ketiga iaitu Malaysia negara pemilik, selama ini kita banyak mengukur kemajuan rakyat melalui pendapatan. Hakikatnya, mereka yang benar-benar berdaya maju mesti mempunyai pemilikan seperti rumah, perusahaan, saham, harta intelek, simpanan mahu pun aset produktif.
“Sebab itu saya mahu kita bergerak daripada masyarakat yang hanya berpendapatan kepada masyarakat yang memiliki. Sasaran kita, 60 peratus daripada rakyat dewasa memiliki secara langsung sekurang-kurangnya satu aset yang menjana nilai,” katanya.
Mengulas lanjut, Timbalan Perdana Menteri berkata, UMNO dan BN mengimpikan menjadikan Malaysia negara sejahtera, dengan mengubah cara menilai kejayaan ekonomi walaupun pada dasarnya Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) itu penting namun rakyat tidak hidup di dalam angkanya.
Tegasnya, pendapatan rakyat sebanyak RM5,000 sebulan belum tentu mencukupi dengan pelbagai komitmen sehingga menimbulkan keresahan untuk meneruskan hari-hari berikutnya.
“Oleh itu, negara sejahtera mestilah meletakkan sasaran setiap keluarga sekurang-kurangnya 30 peratus pendapatan boleh guna selepas memenuhi keperluan asas bagi menyimpan, melabur dan menikmati kehidupan,” katanya.
Dalam ikhtiar kelima pula, beliau berkata, Malaysia mesti menjadi negara yang berdaya tahan dalam keadaan dunia semakin mencabar dengan pandemik, perang, perubahan iklim dan ancaman siber.
“Sasaran kita, Malaysia mesti mempunyai sekurang-kurangnya 70 peratus kemandirian terhadap keperluan strategik merangkumi keterjaminan manakan, bekalan perubatan, hubungan telekomunikasi, sumber tenaga dan air, pertahanan serta industry strategik dalam tempoh tersebut,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, ikhtiar keenam pula menggariskan keperluan Malaysia sebagai negara peduli susulan ke arah negara menua dengan keluarga muda berhadapan kos penjagaan anak, menjaga ibu bapa uzur, dan sebahagian besar kerja penjagaan masih dilakukan tanpa pengiktirafan ekonomi sewajarnya.
Justeru katanya, sebuah negara peduli akan menjamin akses terhadap penjagaan kanak-kanak, warga emas, orang kurang upaya dan pesakit jangka panjang.
“Ikhtiar ketujuh, kita bertekad menjadikan Malaysia negara beramanah. Kekayaan boleh dibina. Infrastruktur boleh didirikan. Tetapi apabila kepercayaan runtuh, segala-galanya menjadi lebih sukar. Kita mahu rakyat percaya kepada mahkamah dan bukannya mahkamah diperalatkan. Pelabur percaya kepada peraturan.
“Penjawat awam percaya kepada sistem dan tidak dihantui dengan ugutan. Siapa pun yang menjadi kerajaan, institusi negara tidak boleh dijadikan alat demi kepentingan politik. Ikhtiar itu disasarkan meletakkan Malaysia dalam kelompok 20 negara terbaik dunia dari segi integriti, tadbir urus dan kedaulatan undang-undang.
“Kita mahu rule of law, bukan rule by law. Good governance (tadir urus baik) bukan sekadar teriakan dalam manifesto. Sebaliknya ia adalah kepercayaan bahawa kuasa digunakan untuk amanah dan bukan ruang untuk melakukan penindasan,” katanya.
Terakhir, Ahmad Zahid berkata, ikhtiar kelapan adalah menjadikan Malaysia negara berdaulat dengan segala kepentingan negara dapat dilindungi.
“Sebab ukuran kejayaan dasar luar bukan sekadar berapa banyak pemimpin dunia yang kita temui, berapa banyak persidangan yang kita hadiri atau berapa banyak negara mengenali Malaysia. Malah, jauh lebih bahaya jika hubungan baik dengan pihak luar menjadi saluran pengaruh yang mencorak politik dalaman negara,” katanya.
Dengan lapan ikhtiar dan sasaran digariskan itu, UMNO mahu menyusun semula keutamaan negara bermula dengan penstrukturan percukaian termasuk GST pada kadar yang munasabah, menyelaraskan jaminan sosial rakyat, memudahkan urusan perniagaan serta membangunkan ekonomi wilayah berasaskan kekuatan Semenanjung, Sabah dan Sarawak. –UTUSAN









