Kerjasama MPOGCF-Perhilitan lahirkan lapan anak Harimau Malaya

Kerjasama MPOGCF-Perhilitan lahirkan lapan anak Harimau Malaya

HARIMAU Malaya yang menjadi antara spesies hidupan liar terancam terus dipulihara menerusi kerjasama strategik MPOGCF dan Perhilitan. – GAMBAR IHSAN MPOGCF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak lapan anak Harimau Malaya berjaya dilahirkan daripada seekor induk betina menerusi kerjasama strategik antara Malaysian Palm Oil Green Conservation Foundation (MPOGCF) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Menurut MPOGCF, kelahiran itu direkodkan sepanjang pelaksanaan program penajaan makanan dan suplemen kesihatan oleh yayasan tersebut dari 2023 hingga 2025 di Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC), Sungkai, Perak.

Katanya, kerjasama tersebut membantu meningkatkan tahap kesihatan dan kebajikan induk Harimau Malaya dan menyokong usaha pembiakan secara ex-situ.

“Kerjasama ini turut memberi penekanan kepada pembangunan kapasiti pegawai Perhilitan melalui penajaan latihan dan bengkel antarabangsa berkaitan perubatan konservasi hidupan liar serta bioteknologi reproduktif hidupan liar.

“Antara program tersebut termasuk penyertaan dalam Persidangan Antarabangsa Asian Society of Conservation Medicine (ASCM) di Chiang Mai, Thailand serta bengkel berkaitan Teknologi Pembiakan Berbantu (ART) di Khao Kheow Open Zoo, Thailand,” katanya dalam kenyataan.

Menurut MPOGCF, sebanyak RM2 juta disalurkan sejak 2021 bagi menyokong pelbagai inisiatif pemuliharaan Harimau Malaya bersama Perhilitan.

Katanya, tajaan itu merangkumi program pembiakan secara ex-situ, penyelidikan saintifik, pembangunan teknologi pembiakan berbantu serta pembangunan kapasiti pegawai.

“Antara inisiatif yang dilaksanakan ialah penyediaan kelengkapan dan menaik taraf makmal bagi menyokong program pembiakan, penyelidikan hormon dan genetik serta pembangunan ART.

“Kemudahan tersebut menyokong pelaksanaan Program Pembiakan Berbantu melalui beberapa kaedah termasuk permanian beradas secara laparoskopi (LAI), pengambilan ovum (OPU), pengumpulan semen dan kriopreservasi.

“Pendekatan ini membolehkan penilaian kesuburan, pengurusan pembiakan serta pemeliharaan bahan genetik Harimau Malaya dilaksanakan secara lebih sistematik, berkesan dan berasaskan sains,” katanya.

MPOGCF berkata, yayasan itu, Perhilitan dan Felda kini dalam peringkat memeterai memorandum persefahaman baharu bagi meneroka pembangunan Program Pembiakbakaan Spesies Mangsa Harimau Malaya.

“Cadangan itu memberi tumpuan kepada tiga spesies utama, iaitu rusa sambar, pelanduk dan landak raya serta berpotensi melibatkan penternak terpilih dalam komuniti Felda.

“Inisiatif yang masih dalam perbincangan itu mengambil kira kepentingan ketersediaan spesies mangsa sebagai antara komponen penting dalam ekosistem bagi menyokong kelangsungan populasi Harimau Malaya di habitat semula jadi,” katanya. — UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×