PETALING JAYA: UMNO berharap permohonan pengampunan Datuk Seri Najib Tun Razak dapat dipertimbangkan pada mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan datang tanpa sebarang kelewatan yang tidak perlu.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, parti mengambil maklum keputusan berhubung Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-63 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang berlangsung hari ini.
Beliau berkata, UMNO pada masa sama menjunjung kasih dan menghormati sepenuhnya institusi Yang di-Pertuan Agong serta segala proses yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan berkaitan kuasa pengampunan.
“UMNO mengambil maklum bahawa permohonan pengampunan Datuk Seri Najib Abdul Razak telah ditangguhkan ke Mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan diadakan kelak, sebagaimana dinyatakan dalam kenyataan rasmi kerajaan.
“UMNO berharap permohonan berkenaan dapat dipertimbangkan pada mesyuarat akan datang tanpa kelewatan yang tidak perlu, selaras dengan proses undang-undang dan Perlembagaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, perjuangan mendapatkan keadilan buat Najib bukan usaha untuk mencabar institusi atau proses undang-undang sebaliknya UMNO akan terus menggunakan segala ruang yang sah di sisi Perlembagaan dan undang-undang.
“UMNO akan terus menggunakan segala ruang yang sah di sisi Perlembagaan dan undang-undang bagi memastikan hak beliau untuk mendapatkan pertimbangan yang adil dapat dilaksanakan sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata, UMNO memahami keresahan dan kekecewaan ahli parti serta rakyat yang telah lama menantikan perkembangan berhubung perkara tersebut.
“UMNO menyeru semua pihak supaya terus bertenang, menghormati institusi Raja-Raja Melayu dan tidak mengambil sebarang tindakan yang boleh menjejaskan proses yang sedang berjalan.
“UMNO tidak akan berhenti memperjuangkan keadilan. Kita akan terus berusaha melalui saluran Perlembagaan, undang-undang dan institusi yang sah sehingga segala proses berkaitan Datuk Seri Najib diberikan pertimbangan sewajarnya,” katanya.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menangguhkan permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, ke Mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan diadakan kelak.
Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-63 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang diadakan hari ini.- UTUSAN










