KUALA TERENGGANU: Keciciran lima mata dalam tiga perlawanan di laman sendiri menggambarkan Terengganu FC (TFC) masih bergelut mencari rentak di awal musim sekali gus menimbulkan persoalan sama ada mampu memberi cabaran sengit dalam saingan Liga Super.
Ketika ini, skuad bimbingan Nafuzi Zain itu sekadar mengumpul empat mata daripada tiga perlawanan selepas merekodkan masing-masing satu kemenangan, seri dan tewas dalam aksi yang semuanya berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Kuala Nerus, dekat sini.
Nafuzi yang merupakan bekas jurulatih bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan, kembali membimbing TFC bagi menyahut cabaran musim baharu dengan membentuk skuad yang hampir separuh muka baharu selain membawa pulang bekas pemain Sang Penyu seperti Habib Haroon dan Manuel Ott.
Dalam aksi ketiga Liga Super di laman sendiri kelmarin, TFC terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 0-0 menentang Penang FC yang mengutip mata pertamanya musim ini.
Nafuzi mengakui kecewa apabila gagal mengutip mata penuh dalam perlawanan itu dengan anak buahnya tidak mempamerkan aksi meyakinkan dan gagal menyudahkan peluang terutama di permulaan permainan.
‘Keadaan pemain tidak meyakinkan dan nampak agak kelam kabut. Selepas babak kedua pemain beraksi lebih baik berbanding awal permainan, mereka bersungguh-sungguh untuk menjaringkan gol tetapi tidak cukup untuk menembusi kubu Penang FC,” katanya selepas perlawanan.
Sehubungan itu, Nafuzi mahu anak buahnya meningkatkan mutu permainan bagi memastikan TFC mampu bersaing dengan baik seterusnya mencapai sasaran ditetapkan pada musim ini.
Katanya, pemain Sang Penyu tidak boleh berputus asa dan mesti mencari kemenangan sama ada bermain di tempat sendiri atau gelanggang lawan supaya dapat bersaing dalam kelompok atasan liga.
Sementara itu, jurulatih Penang FC, Wan Rohaimi Wan Ismail lega apabila skuad Harimau Kumbang meraih satu mata berharga yang juga mata pertama dalam tiga perlawanan Liga Super selepas mengikat TFC dengan keputusan tanpa jaringan.
Katanya, keputusan itu adalah satu pencapaian positif buat pasukannya apatah lagi bukan tugas mudah untuk mengikat TFC lebih-lebih lagi beraksi di gelanggang lawan.
“Satu mata ini sudah cukup baik tetapi jika beberapa peluang dapat disudahkan dengan jaringan, sudah pasti kita mampu pulang dengan tiga mata penuh.
“Saya harap momentum ini dapat diteruskan memburu kemenangan dalam perlawanan-perlawanan seterusnya,” katanya. – UTUSAN










