KOTA BHARU: Pemilik dan pengusaha kenderaan perdagangan yang masih mengambil sikap tunggu dan lihat berhubung pemasangan serta pengaktifan Peranti Had Laju (SLD) bakal berdepa tindakan sitaan sebaik sahaja penguatkuasaan penuh dilaksanakan.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan, Mohd. Misuari Abdullah bagaimanapun berkata,
pihaknya masih memberi ruang kepada pengusaha membuat persediaan sementara menunggu tarikh penguatkuasaan baharu diumumkan Menteri Pengangkutan ketika ini.
“Sebaik sebaik sahaja tarikh berkenaan diumumkan, tiada lagi kompromi terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi ketetapan SLD.
“Masa itu, kita tidak akan berkompromi lagi. Tindakan sitaan akan diambil,” katanya selepas Sesi Taklimat dan Demonstrasi Pemasangan SLD di sini hari ini.
Mohd. Misuari memberitahu, selepas pemasangan, kenderaan terbabit wajib menjalani pemeriksaan di Puspakom bagi tujuan pengesahan, selain pemandu perlu membawa data pengesahan berkaitan.
Katanya, tindakan terhadap pelanggaran SLD dikuatkuasa mengikut bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Pelaksanaan SLD menetapkan had kelajuan kenderaan perdagangan pada 90 kilometer sejam, selain pemasangan dan pengesahan peranti perlu dilakukan mengikut spesifikasi ditetapkan.
“Bagi kenderaan baharu, peranti berkenaan sememangnya sudah tersedia dalam sistem elektronik kenderaan dan hanya perlu diaktifkan di bengkel tertentu.
“Untuk binaan terkini memang sudah ada, manakala kenderaan sebelum 2015 sudah dipasang dengan ECU (Unit Kawalan Enjin), tetapi belum diaktifkan. Bagi kenderaan lama yang sistem elektroniknya terhad, kaedah mekanikal digunakan dan peranti perlu dipasang,” katanya.-UTUSAN










