KUALA LUMPUR: Industri sawit negara melangkah ke fasa transformasi baharu apabila sisa biojisim diangkat sebagai sumber strategik utama dalam memperkasakan bioekonomi kitaran global dan kelestarian.
Menurut Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, dengan asas kukuh merangkumi kira-kira 5.70 juta hektar kawasan tanaman sawit serta 452 kilang minyak sawit yang beroperasi pada tahun 2025, Malaysia mempunyai kelebihan dan potensi yang amat besar dalam sektor itu.
Katanya, negara telah memproses lebih 102 juta tan tandan buah segar, sekali gus menghasilkan 20.28 million tan minyak sawit mentah (CPO) pada tahun lalu.
“Walaupun fokus utama kita kekal pada pengeluaran minyak sawit, kita kini memberi perhatian lebih mendalam terhadap bagaimana bahagian lain pokok sawit boleh dimanfaatkan dengan lebih baik secara komersial dan berskala besar,” katanya ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Biojisim Sawit Ke-6 (6th IOPBC 2026) di Hotel Concorde, Kuala Lumpur, hari ini.
Mengulas lanjut mengenai penjanaan sisa, beliau berkata Lembaga Perindustrian Sawit Malaysia (MPOB) menganggarkan sebanyak 99.43 juta tan biojisim sawit pada asas berat kering telah dijana di seluruh negara sepanjang 2025.
“Jumlah ini merangkumi pelepah sawit, batang sawit, tandan buah kosong (EFB), gentian mesokarp, tempurung isi kelapa sawit serta efluen kilang kelapa sawit (POME) yang boleh diproses dan dipulihkan untuk pelbagai kegunaan lain,” katanya.
Menurut Noraini, walaupun fokus utama industri kekal kepada pengeluaran minyak sawit, perhatian yang lebih mendalam kini diberikan kepada usaha memanfaatkan bahagian lain pokok sawit secara optimum.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa usaha itu turut berdepan dengan pelbagai cabaran praktikal termasuk aspek pengumpulan, pengangkutan, kestabilan bekalan serta kos pengeluaran yang memerlukan teknologi bersesuaian.
“Pelaksanaan Pelan Tindakan Biojisim Negara 2023–2030 akan mampu menyediakan hala tuju dasar yang jelas bagi menyokong penggunaan biojisim secara lebih meluas dalam sektor tenaga boleh diperbaharui, bio-pertanian dan bahan mampan,” katanya.
Jelasnya, melalui sektor pembuatan bernilai tinggi pula, beliau melihat peluang cerah untuk membangunkan biojisim sawit menjadi bahan kimia bio, nanoselulosa, biokomposit, kayu sawit kejuruteraan serta produk pulpa dan kertas.
“Industri juga menunjukkan minat yang semakin meningkat terhadap potensi penggunaan minyak EFB sebagai bahan suapan (feedstock) bagi penghasilan Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF) serta bahan api bio generasi kedua,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa peralihan daripada inovasi kepada skala komersial memerlukan kerjasama erat merentas keseluruhan rantaian nilai termasuk sokongan padu daripada institusi kewangan dalam menyediakan pembiayaan yang berdaya maju.
“Kita telah membincangkan potensi biojisim sawit ini selama bertahun-tahun. Kini masanya untuk menukar segala potensi tersebut kepada aktiviti praktikal yang mampan, sekali gus memberi manfaat ekonomi serta kelestarian alam sekitar kepada pekebun kecil dan komuniti tempatan,” katanya. – UTUSAN











