PETALING JAYA: Serangan dron oleh kumpulan Houthi sejak Selasa lalu tidak berlaku di kawasan berhampiran Masjidil Haram mahupun lokasi ibadah umrah dan haji.
Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah, Tengku Mohd. Dzaraif Raja Abdul Kadir berkata, wilayah Mekah merangkumi kawasan yang sangat luas dengan perjalanan darat mengambil masa sehingga empat jam selain meliputi bandar Taif dan Jeddah.
Katanya, lokasi kejadian adalah jauh dari pusat tumpuan jemaah serta kawasan yang menjadi tumpuan aktiviti harian utama.
Beliau berkata, impak serta gangguan kecemasan susulan serangan itu berlaku dalam tempoh yang sangat singkat dan keadaan berjaya dikawal.
“Di Jeddah sekitar 20 minit, Mekah tujuh minit dan kawasan-kawasan lain adalah kurang daripada 10 minit.
“Situasi kini telah kembali tenang sepenuhnya. Tiada lagi bunyi siren amaran dilaporkan selepas serangan pada 15 September lalu.
“Suasana juga kembali normal apabila negara ini bersiap sedia menyambut kemeriahan ambang Hari Kebangsaan Saudi ke-96 yang diraikan pada 23 September ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kerajaan Arab Saudi sebelum ini dilaporkan berikrar akan menyekat sebarang ancaman keselamatan terhadap Mekah dan Madinah selepas berjaya memintas serangan dron kumpulan Houthi, petang Selasa lalu.
Riyadh menegaskan Masjidil Haram dan Masjid Nabawi serta jemaah umrah sebagai ‘garis merah’ yang tidak boleh dibolosi oleh sebarang ancaman.
Sehubungan itu, jurucakap gabungan tentera diketuai Arab Saudi, Turki al-Malki berkata, segala langkah sewajarnya akan diambil bagi menghalang serangan itu daripada berulang.
Dalam pada itu, Tengku Mohd. Dzaraif berkata, jumlah keseluruhan komuniti Malaysia di Arab Saudi dianggarkan melebihi 8,000 orang.
“Kawasan wilayah timur adalah sekitar 4,000 orang yang merangkumi Mekah, Madinah, Jeddah, Abha, Najran, Tabuk dan Jizan.
“Kawasan wilayah barat dan lain-lain juga sekitar 4,000 orang merangkumi Riyadh, Qasim, Hail dan Jawf,” katanya.
Beliau berkata, rakyat Malaysia disaran merujuk kepada saluran rasmi Kerajaan Arab Saudi seperti agensi berita rasmi kerajaan bagi mendapatkan berita sahih dan perkembangan terkini secara langsung daripada pihak berkuasa tempatan,
“Selain itu, saluran lain seperti Kementerian Luar Negeri, Kementerian Dalam Negeri, dan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi,” katanya. -UTUSAN










