KAJANG: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencadangkan pertuduhan terhadap dua bekas pegawai kanan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) berhubung dakwaan penyelewengan dalam projek pembangunan Kuala Lumpur Vertical City (KLVC).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, kertas siasatan bagi projek berkenaan sudah siap dan akan dikemukakan syor pertuduhan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) minggu depan bagi mendapatkan keizinan mendakwa.
“Siasatan sudah pun selesai. Kami menyelesaikan penyiasatan terhadap projek KLVC itu melalui keterangan yang diambil daripada 30 orang saksi.
“Pihak kami akan memperakukan pertuduhan terhadap kedua-dua individu yang dinyatakan tadi di bawah kertas siasatan berkenaan dan mendapatkan keizinan (consent) daripada Peguam Negara.
“Sekiranya segalanya berjalan lancar dan keizinan diperoleh, pertuduhan akan difailkan di mahkamah pada minggu selepasa itu,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Menembak SPRM Bersama Media di Maktab Penjara Kajang, hari ini.
Menurutnya, dua individu terbabit yang sebelum ini ditahan pada 6 September lalu adalah bekas Pengarah Besar Felda dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Felda Investment Corporation Sdn. Bhd. (FIC).
Keduanya pernah direman beberapa hari sebelum dibebaskan dengan jaminan SPRM.
Tegasnya, peranan SPRM hanya terhad kepada mengemukakan syor pertuduhan berdasarkan hasil siasatan.
“Ingin difahami di sini bahawa pihak SPRM hanya mencadangkan sahaja hasil penyiasatan dan membuat perakuan. Sama ada untuk menuduh atau sebaliknya, ia adalah tertakluk sepenuhnya di bawah kuasa Peguam Negara,” katanya.
Mengulas perkembangan keseluruhan skandal Felda, Abd Halim berkata, Bahagian Operasi Khas SPRM secara keseluruhannya mengendalikan tujuh kertas siasatan membabitkan pelbagai isu pelaburan serta transaksi aset bernilai tinggi oleh Felda dan FIC bagi tempoh 2010 hingga 2020.
Setakat 18 September, seramai 34 orang saksi telah dirakam keterangan merangkumi bekas Ahli Lembaga Pengarah, pihak pengurusan Felda dan FIC, pegawai Jabatan Tanah dan Galian, serta jurunilai bebas.- UTUSAN











