Selangor teliti agih pelitup muka percuma ke sekolah

Selangor teliti agih pelitup muka percuma ke sekolah

terkini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan negeri Selangor masih meneliti cadangan pengagihan pelitup muka percuma kepada sekolah sebagai langkah menghadapi keadaan jerebu yang melanda ketika ini.

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin berkata, perkara berkenaan telah dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) dan mendapat perhatian Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

“Setakat ini kami sedang mengumpul maklumat dan melihat apakah jenis pelitup muka yang ingin diedarkan. Masih belum ada keputusan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Inisiatif Hab Rakan Sokongan dan Talian Belia SEHAT, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Amirudin dilaporkan berkata, negeri itu akan mengagihkan pelitup muka secara percuma kepada pelajar sekolah susulan situasi jerebu yang dijangka berlarutan sehingga Oktober depan. 

Sementara itu tambah Jamaliah, kerajaan negeri turut mempertimbangkan pendekatan pengedaran pelitup muka yang boleh digunakan semula bagi memastikan langkah berkenaan tidak sekadar dilaksanakan secara sekali sahaja.

Katanya, cadangan itu termasuk penggunaan pelitup muka jenis kain yang boleh dicuci dan digunakan semula namun perkara tersebut masih dimuktamadkan di peringkat MMKN.

“Antara cadangannya adalah supaya kita bukan buat satu program one-off, sebaliknya mempunyai pengedaran pelitup muka secara kain yang boleh dicuci semula,” katanya.

Dalam pada itu, Jamaliah berkata keadaan jerebu dijangka bertambah baik dalam tempoh beberapa hari akan datang berdasarkan maklumat yang diterima kerajaan negeri.

Beliau berkata, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) dijangka berada pada tahap sederhana atau baik dalam tempoh berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, keadaan tersebut banyak bergantung kepada faktor pembakaran terbuka, termasuk aktiviti pembakaran secara haram yang sukar diramalkan.

“Ramalan jerebu sebenarnya sangat mencabar kerana kita tidak tahu siapa yang melakukan aktiviti pembakaran haram,” katanya. 

Pada masa sama, beliau berkata semua agensi berkaitan kini meningkatkan tahap kesiapsiagaan menerusi pemantauan yang lebih kerap bagi menghadapi sebarang perubahan keadaan jerebu.

Katanya, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) turut melaporkan angka rawatan dari semasa ke semasa bagi membolehkan kerajaan negeri memantau kesan jerebu terhadap kesihatan orang awam.

Jamaliah turut menyarankan sebarang aktiviti luar terutama membabitkan murid sekolah rendah dan sekolah menengah dielakkan ketika keadaan jerebu bertambah buruk. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×