PARLIMEN: Belum masa wajibkan pakai pelitup muka

PARLIMEN: Belum masa wajibkan pakai pelitup muka

DZULKEFLY AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan belum mewajibkan pemakaian pelitup muka bagi mengekang penularan jangkitan influenza A di khalayak awam.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, sebaliknya kanak-kanak atau individu yang bergejala disarankan perlu mengelakkan berada di tempat sesak.

“Sesiapa yang bergejala jangan keluar (rumah), elakkan berada di tempat sesak atau lokasi ada keramaian seperti di pusat beli-belah.

“(Buat masa ini) Kita (KKM) tidak mewajibkan (pelitup muka), kita hanya menggalakkan (pakai pelitup muka),” katanya pada sidang akhbar di Bangunan Parlimen di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan jangkitan influenza A disifatkan lebih berbahaya berbanding influenza B memandangkan kerap bermutasi dan boleh menjangkiti burung, babi dan haiwan lain, selain daripada manusia.

Situasi yang berlaku ketika ini berkemungkinan bermusim memandangkan hemisfera barat terutamanya Eropah kini memasuki musim luruh. Namun, kes-kes jangkitan selesema di United Kingdom terutamanya masih terkawal dan stabil.

Dzulkefly berkata, Selangor mencatatkan kes jangkitan influenza tertinggi dengan 174 kluster dari minggu pertama sehingga terkini, diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (103) dan Kedah (38).

Katanya, influenza tidak termasuk dalam Jadual 1 di bawah peraturan yang menyenaraikan penyakit-penyakit berjangkit yang wajib dinotifikasikan seperti pandemik Covid-19 yang merupakan penyakit berisiko tinggi.

Katanya, data atau maklumat berkaitan influenza tidak boleh digunakan sebagai asas utama untuk tindakan seperti penutupan premis secara automatik.

Namun begitu, walaupun influenza tidak tertakluk dalam Jadual 1, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) masih menyediakan peruntukan melalui Seksyen 18 dan Seksyen 2.

“Seksyen 18 iaitu kuasa untuk mengarahkan mana-mana individu atau institusi mengambil langkah-langkah tertentu bagi mencegah penularan penyakit.

“Seksyen 2 iaitu takrif kuasa Pegawai Kesihatan. Pegawai-pegawai dari Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) masih boleh memasuki premis untuk menjalankan penilaian risiko, kerja-kerja pembersihan dan memberi nasihat kepada pihak institusi mengenai langkah-langkah lanjut.

“Berdasarkan penilaian tersebut, mereka boleh mengesyorkan penutupan separa atau penutupan penuh premis.

“Namun, keputusan akhir terletak pada budi bicara pihak institusi tersebut, bukannya automatik melalui undang-undang seperti dalam kes penyakit yang tersenarai dalam Jadual 1,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN