PETALING JAYA: Indeks Pencemaran Udara (IPU) tertinggi dicatatkan di Sarikei, Sarawak dengan mencecah paras 194 setakat pukul 8 pagi ini.
Semakan menerusi Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS) berkata, sebanyak 15 kawasan di seluruh negara merekodkan kualiti udara pada tahap tidak sihat susulan jerebu rentas sempadan yang berterusan
“Di samping Sarikei, Serian merekodkan bacaan 188, diikuti Samarahan (181), Kuching (172), Samalaju (164), Sri Aman (158), Sibu (155), Mukah (153) dan Bintulu (106).
“Di Semenanjung, Batu Muda, Kuala Lumpur mencatat bacaan 166, manakala empat kawasan di Johor turut merekodkan bacaan tidak sihat iaitu Kluang (149), Larkin (146), Batu Pahat (143) dan Pasir Gudang (105),” menurut sistem berkenaan.
Sementara itu, sebanyak 22 kawasan merekodkan bacaan dalam kategori sederhana pada paras 80 dan ke atas, iaitu hampir mencecah ambang 101 yang dikategorikan sebagai tidak sihat.
Cheras, Kuala Lumpur mencatat bacaan tertinggi dalam kategori berkenaan iaitu 99, diikuti Seremban (98), Alor Gajah (98), Tangkak (98) dan Segamat (98).
Turut merekodkan bacaan tinggi dalam kategori sederhana ialah Nilai (96), Pengerang (96), Tasek Ipoh (95), Johan Setia, Selangor (94), Kota Tinggi (91), Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri, Sarawak (90) dan Putrajaya (88).
Kawasan lain ialah Balok Baru, Kuantan (88), Jerantut (85), Tanjung Malim (84), Temerloh (84), Seri Manjung (83), Indera Mahkota, Kuantan (83), Shah Alam (82), Banting (80), Bandaraya Melaka (80) dan Kemaman (80).
Jerebu menyelubungi sebahagian besar kawasan di Sarawak sejak akhir Ogos lalu, dengan Serian sebelum ini merekodkan bacaan pada tahap berbahaya melebihi 300 susulan aktiviti titik panas yang berterusan di Kalimantan dan Sumatera.
Berdasarkan klasifikasi IPU, bacaan sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat, manakala bacaan melebihi 300 dikategorikan sebagai berbahaya.
Orang ramai boleh mendapatkan bacaan IPU terkini setiap jam menerusi laman sesawang JAS atau aplikasi mudah alih MyJAS EQMS. – UTUSAN









