KUALA LUMPUR: Senior Asisten Komisioner Shaidatul Akmar Mohd. Noor dilantik sebagai Ketua Cawangan Khas Polis Kuala Lumpur manakala Asisten Komisioner Ahmad Azwan Amin Nordin pula menjawat jawatan Ketua Polis Daerah Dang Wangi.
Majlis itu turut melibatkan serah terima jawatan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi daripada Inspektor Yusnor Hafizah Kasim kepada Nik Nurulfaza Anura Mohamad Yusof.
Majlis serah terima tugas bagi kedua-dua jawatan itu diadakan di Anjung Srikandi, Menara A, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini pagi tadi.
Shaidatul Akmar mengambil alih tugas daripada Timbalan Risikan/Operasi Ketua Cawangan Khas Polis Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Saefuddin@Mohd. Fitri Abdul Rahman yang sebelum ini memangku jawatan tersebut.
Ahmad Azwan pula mengambil alih tugas daripada Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superintenden Nuzulan Mohd. Din yang sebelum ini memangku tugas berkenaan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kesinambungan penugasan di Kuala Lumpur diteruskan menerusi pelantikan tersebut.
“Saya berharap semua pihak terus memberikan kerjasama kepada Polis Kuala Lumpur, secara amnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM). Ini bagi memastikan perkhidmatan terbaik dapat diberikan kepada masyarakat ke arah keberhasilan ketenteraman awam, terutamanya di wilayah Kuala Lumpur.
“Kita memberikan harapan supaya komitmen diberikan secara cemerlang dan terbaik untuk menghasilkan keberhasilan,” katanya dalam sidang akhbar.
Menurut Fadil, perkara yang perlu ditekankan oleh Ketua Polis Daerah Dang Wangi adalah selari dengan fokus yang ditetapkan dengan strategi Polis Kuala Lumpur, antaranya memastikan kebajikan, keadaan dalaman yang terbaik, penambahbaikan infrastruktur dan seterusnya memfokuskan kepada operasi.
Katanya, Cawangan Khas mempunyai peranan amat penting dalam memastikan keselamatan dan kestabilan ibu negara terus terpelihara dan memastikan keupayaan risikan, ketepatan analisis, kecepatan bertindak serta keberkesanan penyampaian maklumat perlu terus diperkukuhkan.
Tambah Fadil, kawasan ikonik itu mempunyai cabaran, keperluan tersendiri, kepimpinan yang kukuh, tindakan yang pantas dan kerjasama seluruh warga amat penting bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam kekal pada tahap terbaik.
“Ketua tidak boleh bekerja bersendirian. Begitu juga pegawai dan anggota tidak boleh bergerak dalam kelompok masing-masing. Kita mesti bergerak bersama-sama, saling menyokong dan berkongsi tanggungjawab,” katanya.-UTUSAN











