Rasa tentang kisah cinta jarak jauh - Utusan Malaysia

Rasa tentang kisah cinta jarak jauh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kumpulan vokal popular Indonesia, The Lima, kembali dengan single terbaharu berjudul Rasa, menandakan bermulanya era baharu dalam perjalanan seni mereka.

Sebuah karya yang menjadi simbol kebangkitan semula mereka dalam industri muzik, Single itu merupakan penghargaan kepada peminat yang tidak pernah berhenti memberi sokongan sepanjang perjalanan seni mereka.

Rasa mengisahkan dua insan yang dipertemukan melalui media sosial dengan perbualan biasa akhirnya berkembang menjadi ikatan emosi yang mendalam.

Meskipun belum pernah bertemu secara bersemuka, hubungan mereka saling menguat sehingga perasaan itu bertukar menjadi cinta.

Lagu ini membawa mesej bahawa kasih sayang mampu bercambah tanpa batasan ruang dan waktu, selari dengan realiti kehidupan masyarakat moden hari ini.

Dengan susunan muzik yang segar serta kekuatan vokal The Lima , Rasa menjadi langkah sulung mereka untuk kembali mewarnai industri muzik Malaysia dan Asia Tenggara.

Kumpulan ini berharap karya terbaharu mereka dapat memperluaskan lagi pengaruh kumpulan itu di Indonesia, selain memperkenalkan semula identiti muzik The Lima kepada generasi pendengar baharu.

Pihak pengurusan kini dalam perancangan untuk menghasilkan Muzik Video, dan The Lima kini bersedia untuk mengorak langkah lebih jauh dan mencipta lebih banyak karya yang mampu menyentuh hati peminat di seluruh rantau ini.

The Lima mula dikenali pada 2007 selepas dinobatkan juara pertandingan Gangstarz.

Susulan itu, kumpulan tersebut tampil dengan album sulung berjudul The Lima yang memperkenalkan lagu-lagu seperti Separuh Masa dan Buronan Cinta.

The Lima kemudian membuat kemunculan semula menerusi program realiti nyanyian Gegar Vaganza 11 pada tahun 2024.

Dalam pada itu, Rasa yang merupakan karya terbitan Chevy Amry Production dan Sony Music Malaysia kini boleh diperdengarkan di semua platform penstriman digital. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×