SHAH ALAM: Kawasan perindustrian mudah akses ke lebuh raya dan kedudukan tidak jauh dari Pelabuhan Klang dipercayai antara faktor sindiket menjadikan premis di Bandar Puncak Alam sebagai gudang atau makmal pemprosesan dadah.
Selain jalan utama seperti Persiaran Mokhtar Dahari dan Jalan Meru – Puncak Alam, kawasan perindustrian di perbandaran baharu itu juga dianggap strategik kerana mudah akses ke dua lebuh raya.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, beliau tidak menolak itu antara pertimbangan digunakan oleh sindiket berkaitan dadah termasuk yang ditumpaskan baru-baru ini melibatkan rampasan berjumlah RM2.41 bilion.
“Itu antara pertimbangan yang digunakan oleh pihak sindiket juga. Seperti mana polis, penjenayah juga ada pertimbangan juga.
“Mereka tidak sembrono membuat sesuatu premis sebagai aktiviti mereka,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan sindiket dadah berskala besar terbongkar selepas polis merampas 13.17 tan metrik dadah sintetik bernilai RM2.41 bilion dalam serbuan sebuah kilang yang dijadikan makmal dadah di Bandar Puncak Alam sejak setahun lalu.
Rampasan membabitkan pelbagai jenis dadah termasuk ekstasi, pil yaba, metamfetamin, ketamin, ganja dan pil Erimin 5, selain mesin serta peralatan memproses dadah.
Sebelum ini sebanyak dua serbuan dilakukan polis terhadap sindiket pengedaran dadah berskala besar melibatkan gudang dan juga makmal pemprosesan bahan terlarang itu di Bandar Puncak Alam pada 2019 dan tahun lalu.
Serbuan tersebut membawa kepada rampasan kokain dan ketamin degan anggaran berat keseluruhan 3.68 tan pada 2019 serta 832.9 kilogram (kg) dadah sintetik terdiri daripada erimin 5 dan ekstasi pada 2025.
Jelas Shazeli, tiada keperluan untuk membina balai polis baharu di Bandar Puncak Alam walaupun balai sedia ada terletak di Bandar Saujana Utama di bawah pentadbiran Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh.
Namun, pihaknya akan meningkatkan pemantauan dan kawalan keselamatan di kawasan berkenaan.
“Untuk mewujudkan balai polis baharu perlu mengambil kira faktor seperti kepadatan penduduk, kepesatan ekonomi dan juga keadaan jenayah semasa.
“Perondaan dijalankan oleh pasukan-pasukan terdiri daripada Jabatan Siastan Jenayah Narkotik (JSJN) dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) turut menjalankan operasi mereka,” ujarnya. – UTUSAN










