Rasuah, hormati institusi diraja dua perkara bebeza - Saifuddin

Rasuah, hormati institusi diraja dua perkara bebeza – Saifuddin

Institusi diraja
SAIFUDDIN SHAFI MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: UMNO perlu menilai semula dakwaan terhadap Pakatan Harapan (PH) tidak menghormati institusi diraja apabila mempertikai kuasa pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong yang merupakan prerogatif baginda.

Timbalan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Shafi Muhammad berkata, PH tidak pernah menafikan kuasa pengampunan yang diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

“Menghormati kuasa perlembagaan Yang di-Pertuan Agong tidak bermaksud mana-mana parti politik akan kehilangan hak untuk menyatakan pendirian tegas terhadap rasuah, salah guna kuasa, integriti dan hukuman yang diputuskan oleh mahkamah.

“Jangan ubah persoalan tentang rasuah menjadi drama kononnya derhaka kepada Raja. Itu dua perkara yang berbeza,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari itu menegaskan, kenyataan PH adalah jelas dan perlu dibezakan antara soal rasuah dalam mempertahankan undang-undang dan menghormati institusi diraja dengan menjunjung Perlembagaan Persekutuan.

“PH tidak perlu diajar soal menghormati Raja. Yang rakyat mahu ialah konsistensi. Jangan campur-adukkan kedua-duanya semata-mata untuk meraih persepsi politik murahan,” jelasnya.

Terdahulu Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dalam kenyataannya menyelar tindakan PH yang didakwa bersikap dwi standard terhadap kuasa pengampunan apabila melibatkan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau mendakwa, Majlis Setiausaha PH seolah-olah mempertikai kuasa pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong dengan menganggap parti gabungan itu mewujudkan piawaian berbeza apabila perkara itu dikenakan kepada pihak lain.

Bagaimanapun, Saifuddin Shafi membalas UMNO perlu menyedari tindakannya yang juga seolah-olah tidak menghormati institusi diraja berhubung kemelut di Negeri Sembilan yang menimbulkan persoalan serius berkaitan proses dan kedudukan Raja-Raja Melayu.

“Apabila seorang Menteri Besar sendiri mendakwa berlaku paksaan dalam penandatanganan dokumen berkaitan kedudukan Raja, siapa yang bertanggungjawab dan siapa yang menjadi penderhaka sebenarnya?

“Kalau UMNO benar-benar mahu tampil sebagai benteng Institusi Raja-Raja Melayu, jawab dahulu persoalan di Negeri Sembilan. Jangan hanya lantang apabila ia menguntungkan naratif politik sendiri, tetapi membisu apabila timbul persoalan yang jauh lebih serius di depan mata,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×