Portal R&D Malaysia rekod lebih 500 paten bernilai RM2 bilion

Portal R&D Malaysia rekod lebih 500 paten bernilai RM2 bilion

ZAMBRY ABD. KADIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Portal pengkomersialan bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) Malaysia merekodkan lebih 500 paten bernilai lebih RM2 bilion.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, rekod itu turut menunjukkan lebih 120 misi aktif sekali gus membuktikan Malaysia tidak kekurangan idea atau bakat.

Menurutnya, cabaran utama negara ketika ini ialah membina keyakinan, meningkatkan kepantasan, memperkukuh kerjasama dan memastikan pelaksanaan supaya hasil penyelidikan dapat dikomersialkan.

“Portal pengkomersialan bidang R&D Malaysia merekodkan lebih 500 paten yang dipadankan bernilai lebih RM2 bilion.

“Malaysia perlu memendekkan jangka masa daripada penyelidikan kepada pasaran, makmal kepada industri serta penemuan kepada impak yang boleh dimanfaatkan masyarakat.

“Penyelidik perlu memahami pasaran, berhubung dengan industri, mencari rakan kerjasama dan mengenal pasti pihak yang boleh menggunakan teknologi dibangunkan,” katanya pada majlis perasmian University Research and Innovation Investment Summit (URIIS) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

Beliau berkata, penyelidik perlu menilai masalah yang boleh diselesaikan teknologi mereka serta menentukan sama ada hasil tersebut mempunyai potensi untuk dikembangkan pada skala lebih besar.

Katanya, industri juga perlu membina keyakinan terhadap hasil penyelidikan Malaysia yang mampu ditawarkan oleh universiti tempatan.

“Pelabur pula perlu melihat penyelidik bukan sekadar ahli akademik, tetapi inovator, usahawan dan bakal rakan niaga dalam mengembangkan teknologi berpotensi.

“Oleh itu, URIIS 2026 perlu menjadi wadah yang memperlihatkan Malaysia mempunyai bakat, penyelidikan dan idea yang mampu dihubungkan, dibiayai serta dibawa ke peringkat global,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×