MELAKA: Polis Melaka menafikan dakwaan tular di media sosial kononnya cuti anggota yang berkhidmat di kontinjen itu dibekukan bermula 20 September sehingga satu tarikh akan dimaklumkan kelak.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, pihaknya mengesan satu hantaran di laman sosial Facebook yang memaparkan dakwaan berkenaan dan dipercayai telah menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Menurut beliau, maklumat yang mendakwa pembekuan cuti anggota PDRM Kontinjen Melaka itu adalah tidak benar dan tidak dikeluarkan oleh pihak berkuasa berkenaan.
“PDRM Kontinjen Melaka menafikan sekeras-kerasnya kesahihan kenyataan tersebut. Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi, berkongsi atau menyebarkan maklumat palsu yang boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, orang ramai juga perlu lebih berhati-hati sebelum mempercayai atau menyebarkan sebarang maklumat yang diterima menerusi media sosial, khususnya yang tidak mempunyai pengesahan daripada pihak berkuasa.
Katanya, penyebaran maklumat tidak sahih bukan sahaja boleh mengelirukan masyarakat, malah berpotensi menimbulkan pelbagai spekulasi dan persepsi negatif terhadap sesuatu pihak.
“Tindakan tegas boleh diambil terhadap mana-mana pihak yang sengaja menyebarkan berita tidak sahih di media sosial mengikut undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.
Terdahulu, satu hantaran di Facebook mendakwa cuti bagi anggota yang berkhidmat di Kontinjen Melaka dibekukan bermula 20 September 2026 sehingga satu tarikh yang akan diberitahu kemudian. – UTUSAN










