KUALA LUMPUR: Sebuah kenderaan milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilihat memasuki pintu hadapan kediaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Jalan Langgak Duta di sini hari ini.
Kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X70 itu difahamkan membawa pegawai Pasukan Gerakan Am (PGA) bagi menjalankan pemeriksaan di kediaman terbabit.
Setakat pukul 3 petang ini, kediaman Najib di Langgak Duta, di sini menjadi perhatian pengamal media susulan tahanan rumah diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada Jumaat lalu.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati beberapa pengamal media masih menunggu di hadapan kediaman yang didakwa bakal menjadi lokasi tahanan rumah Najib.
Media semalam melaporkan sebenar tahanan dalam rumah ke atas Najib tidak dapat disahkan selagi bekas Perdana Menteri itu belum menjelaskan denda RM50 juta yang ditetapkan.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar berkata, selagi bayaran denda tersebut belum dilunaskan, Najib akan terus ditahan di Penjara Kajang.
“Setakat ini, keluarga Datuk Seri Najib belum membayar denda. Selepas pembayaran dibuat, saya tidak boleh jangka secara tepat bilakah beliau akan dibawa pulang ke rumah.
“Prosedur operasi standard (SOP) tahanan rumah ke atas Najib akan diperinci oleh Jabatan Penjara,” katanya. – UTUSAN











