IPOH: Polis sedang mengesan pemandu treler bagi membantu siasatan kes kemalangan maut dipercayai langgar lari membabitkan seorang penunggang motosikal di Kilometer 263.4, Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan selepas Terowong Menora, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu membabitkan motosikal Yamaha NVX dan sebuah treler yang tidak dikenal pasti jenis serta nombor pendaftarannya.
Menurutnya, penunggang motosikal berusia 27 tahun mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Mangsa dipercayai digilis treler di bahagian kepala dan maut akibat kecederaan parah.
“Mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi IPD Ipoh di talian 05-2451500. – UTUSAN











