PNB labur RM593.6 juta, sedia 6,547 biasiswa sejak 1996 - Utusan Malaysia

PNB labur RM593.6 juta, sedia 6,547 biasiswa sejak 1996

AMIR Hamzah Azizan (tengah) bersama Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda (kiri) dan Rizal Rickman Ramli (kanan) ketika pelancaran Alumni Program Biasiswa PNB pada Majlis Ulang Tahun ke-30 Biasiswa PNB di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, semalam. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Permodalan Nasional Berhad (PNB) melaburkan sebanyak RM593.6 juta dalam inisiatif pendidikan dan pembangunan bakat dengan menyediakan 6,547 biasiswa sejak 1996 menerusi Program Biasiswa PNB.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, biasiswa merupakan pelaburan strategik jangka panjang yang hasilnya tidak semestinya dilihat serta-merta.

Katanya,kesannya dapat dirasai merentasi dekad program berkenaan merupakan platform bantuan kewangan bagi mengiktiraf pencapaian akademik.

“Program ini bukan sekadar platform bantuan kewangan untuk mengiktiraf pencapaian akademik, sebaliknya menggilap bakat, membuka peluang dan memperkasa mobiliti sosial demi membina negara yang inklusif dan sejahtera.

“Program Biasiswa PNB juga telah bertapak sebagai program yang berjaya melaksanakan agenda negara dengan menyerlahkan potensi anak muda daripada pelbagai latar belakang sosioekonomi untuk menjadi aset kepimpinan yang amat berharga kepada Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ulang Tahun ke-30 dan Pelancaran Alumni Program Biasiswa PNB, di sini.

Sejak ditubuhkan pada 1996, Program Biasiswa PNB berkembang daripada inisiatif yang menyokong sekumpulan kecil pelajar perintis kepada antara platform pembangunan bakat PNB yang paling lama bertapak.

Program itu bermula dengan hanya 10 pelajar dan kini membantu seramai 6,547 penerima biasiswa menerusi pelbagai laluan pembelajaran dengan 726 penerima biasiswa masih berada dalam rangkaian PNB.

Ia merangkumi pendidikan menengah dan tinggi, pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), program profesional serta program berkaitan warisan, dengan jumlah pelaburan terkumpul sebanyak RM593.6 juta.

Sepanjang tempoh itu, program berkenaan turut diperluaskan menerusi pelbagai inisiatif seperti PNB Global Scholarship Award, PNB Merdeka Scholarship Award, Yayasan Tun Ismail Excellence Award, PNB Chartered Accountant Initiative, Bantuan Untuk Pendidikan (BUDI) PNB, BUDI TVET serta program pendidikan dan pembangunan profesional lain.

Sementara itu, Pengerusi Kumpulan PNB, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda berkata, PNB kekal komited melabur dalam insan dan memupuk generasi bakat masa depan yang mampu memberikan impak lebih luas kepada masyarakat dan negara.

“Program Biasiswa PNB memperkukuh matlamat PNB untuk mengukuhkan kedudukan kewangan rakyat merentas generasi.

“Pelaburan dalam modal insan melengkapi peranan lebih luas PNB dalam mencipta nilai jangka panjang untuk Bumiputera, rakyat Malaysia dan negara,” katanya.

Beliau berkata, antara pencapaian penting sepanjang perjalanan program itu termasuk penubuhan Kolej Ilmu PNB pada 1998, dengan pengambilan pertama penerima biasiswa tempatan pada 2004, selain pengenalan BUDI PNB pada 2019 bagi menyokong pelajar daripada komuniti yang kurang mendapat kemudahan.

“BUDI TVET pula diperkenalkan pada 2024 bagi menyokong pelajar yang mengikuti laluan pendidikan teknikal dan vokasional.

“Sejak diperkenalkan, alumni penerima biasiswa PNB telah melanjutkan pengajian di institusi terkemuka di Malaysia dan luar negara, termasuk University of Oxford, University of Cambridge, Harvard University, Cornell University, Imperial College London, University College London serta London School of Economics and Political Science,” katanya.

Dalam pada itu, seramai 333 alumni biasiswa PNB kini berkhidmat dalam organisasi, manakala alumni biasiswa turut membentuk 30 peratus daripada Jawatankuasa Eksekutif Pengurusan (MEXCO) PNB, mencerminkan peranan program itu dalam membangunkan saluran kepimpinan jangka panjang PNB.

Di luar PNB, alumni biasiswa memegang jawatan kepimpinan dan profesional dalam syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), syarikat berkaitan kerajaan (GLC), kementerian, institusi awam dan sektor swasta. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×