PETALING JAYA: Jumlah perdagangan Malaysia meningkat 43.4 peratus kepada RM354 bilion pada Ogos 2026 daripada RM246.8 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkata, eksport meningkat 45.5 peratus kepada RM191 bilion, manakala import bertambah 41.1 peratus kepada RM163 bilion dengan lebihan dagangan berkembang 77.1 peratus kepada RM28.1 bilion.
Menurutnya, prestasi eksport Malaysia pada Ogos 2026 disokong oleh pertumbuhan dua digit dalam eksport domestik dan eksport semula.
“Eksport domestik, yang merangkumi 79 peratus daripada jumlah eksport, meningkat 46 peratus kepada RM151 bilion.
“Eksport semula yang menyumbang 21 peratus daripada jumlah eksport, meningkat 43.3 peratus kepada RM40.1 bilion, manakala import turut mencatatkan pertumbuhan kukuh, meningkat 41.1 peratus kepada RM163 bilion.
“Sehubungan itu, lebihan dagangan berkembang 77.1 peratus kepada RM28.1 bilion, menandakan lebihan dagangan ke-76 bulan berturut-turut sejak Mei 2020.
“Secara perbandingan bulan ke bulan, eksport, import dan jumlah perdagangan masing-masing menurun 1.3 peratus, 4.7 peratus dan 2.9 peratus berbanding Julai 2026. Sementara itu, lebihan dagangan meningkat 24.7 peratus atau RM5.6 bilion,” katanya dalam kenyataan.
Menurut DOSM, mengikut kumpulan barangan pula, sebanyak 136 daripada 258 kumpulan barangan eksport dan 142 daripada 258 kumpulan barangan import mencatatkan peningkatan berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.
“Peningkatan eksport didorong terutamanya oleh penghantaran yang lebih tinggi ke Amerika Syarikat (+RM21.2 bilion), diikuti oleh Singapura (+RM11.3 bilion), Taiwan (+RM7.2 bilion), Hong Kong (+RM5.3 bilion), China (+RM3.4 bilion), Jepun (+RM3.0 bilion) dan Kesatuan Eropah (+RM2.3 bilion).
“Kenaikan import pulasebahagian besarnya mencerminkan aliran masuk yang lebih tinggi dari China (+RM16.9 bilion), diikuti oleh Taiwan (+RM8.8 bilion), Singapura (+RM7.0 bilion), Republik Korea (+RM5.9 bilion), Viet Nam (+RM1.8 bilion), Jepun (+RM1.1 bilion) dan Emiriah Arab Bersatu (+RM1.1 bilion).
“Pertumbuhan eksport dipacu oleh penghantaran yang lebih tinggi bagi barangan elektrik dan elektronik (+RM36.9 bilion), keluaran perkilangan lain (+RM13.7 bilion), gas asli cecair (+RM2.1 bilion), keluaran petroleum (+RM2.0 bilion), jentera, kelengkapan dan peralatan (+RM1.9 bilion) serta barangan perkilangan logam (+RM1.7 bilion).
“Pada masa sama, peningkatan import didorong oleh aliran masuk yang lebih tinggi bagi barangan elektrik dan elektronik (+RM38.3 bilion), petroleum mentah (+RM3.1 bilion), keluaran petroleum (+RM2.2 bilion), jentera, kelengkapan dan peralatan (+RM2.2 bilion), barangan perkilangan logam (+RM1.2 bilion) serta barangan optik dan saintifik (+RM1.1 bilion),” ujarnya.
DOSM berkata, mengikut penggunaan akhir, peningkatan import didorong oleh permintaan yang lebih tinggi bagi barangan perantaraan dan barangan modal.
“Import barangan perantaraan (55.6 peratus daripada jumlah import) meningkat 50.5 peratus atau RM30.4 bilion kepada RM90.7 bilion, manakala import barangan modal (13.3 peratus daripada jumlah import) meningkat 37.4 peratus atau RM5.9 bilion, mencecah RM21.6 bilion.
“Namun begitu, import barangan penggunaan (5.7 peratus daripada jumlah import) menurun 1.6 peratus atau RM153.6 juta, berjumlah RM9.3 bilion berbanding Ogos 2025,” katanya.
Tambahnya, jumlah perdagangan Malaysia bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026 meningkat 27.0 peratus kepada RM2.5 trilion, berbanding RM2.0 trilion dalam tempoh yang sama tahun 2025.
“Ini didorong oleh pertumbuhan kukuh dalam eksport (+31.2 peratus) dan import (+22.4 peratus), manakala lebihan dagangan turut berkembang 127.6 peratus kepada RM198.7 bilion,” katanya. –UTUSAN










