KUALA TERENGGANU : Seekor penyu agar ditemukan mati di pesisir Pantai Sura, Kuala Sura dekat sini, dipercayai akibat terkena kipas bot berdasarkan pemerhatian terhadap kecederaan pada bahagian cengkerangnya, petang semalam.
Penyu berkenaan yang berukuran kira-kira 45 sentimeter panjang dan 40 sentimeter lebar ditemukan dalam keadaan sudah mati sebelum bangkainya ditanam.
Menurut sumber Jabatan Perikanan Terengganu, berdasarkan pemerhatian awal, terdapat kecederaan fizikal pada cengkerang yang dipercayai berpunca daripada pelanggaran dengan kipas bot.
“Kejadian berkenaan turut menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan hidupan marin, khususnya penyu yang sering muncul di kawasan perairan pantai. Selain ancaman pelanggaran dengan bot, penyu turut berdepan risiko akibat pencemaran plastik dan sampah yang dibuang ke laut,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Menurutnya, plastik yang terapung di permukaan air boleh disalah anggap sebagai makanan termasuk obor-obor, lalu ditelan penyu dan berisiko menyebabkan penyumbatan pada saluran pencernaan sehingga membawa kepada kematian.
Sehubungan itu, orang awam diseru supaya memainkan peranan dalam memulihara habitat penyu dengan menyokong kempen bebas plastik serta mengurangkan penggunaan barangan plastik sekali guna seperti penyedut minuman dan beg plastik nipis.
“Pengunjung pantai juga dinasihatkan supaya mengamalkan budaya ‘zero littering’ dengan memastikan tiada sampah, termasuk tali tangsi, pukat hanyut dan beg plastik, ditinggalkan di kawasan pesisir.
“Pada masa sama, aktiviti gotong-royong dan pembersihan pantai secara berkala bersama komuniti setempat perlu dipergiat bagi memastikan kawasan pantai kekal bersih serta selamat untuk hidupan marin,”katanya.
Selain itu, pengusaha bot penambang dan nelayan pula disaran memastikan pukat yang tidak lagi digunakan tidak dibuang ke laut bagi mengelakkan kewujudan ‘pukat hantu’ yang boleh memerangkap hidupan marin.
“Nelayan juga diingatkan supaya mengurangkan kelajuan bot ketika melalui kawasan perairan sensitif yang sering menjadi laluan atau lokasi kemunculan penyu bagi mengurangkan risiko pelanggaran. Orang awam pula dinasihatkan supaya tidak menyentuh, mengganggu atau memberi makanan kepada penyu sekiranya terserempak dengan haiwan berkenaan,”katanya. – UTUSAN










