KUALA LUMPUR: Pemuda UMNO Terengganu mencadangkan supaya ruang perbincangan antara UMNO dengan Pas di negeri itu dibuka.
Ketua Pemudanya, Tengku Haphiz Tengku Putera berkata, cadangan berkenaan perlu dipertimbangkan selepas UMNO mencuba beberapa pendekatan politik yang tidak menghasilkan kemenangan di Terengganu.
“Kita sudah cuba dengan PH, tetapi gagal. Kita sudah bergerak solo, tetapi tidak berjaya.
“Bagaimana hari ini? Apa salahnya kita membuka sedikit pintu untuk berbincang,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar Ketua Pemuda UMNO pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO, di sini hari ini.
Menurut Tengku Haphiz, kesukaran UMNO Terengganu untuk mengadakan perbincangan dengan Pas tidak sepatutnya menyebabkan ruang rundingan terus ditutup.
“Saya percaya langkah tersebut mampu menguatkan semula UMNO serta memulihkan maruah parti di Terengganu,” katanya. – UTUSAN










