Seramai lima orang mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Pagoh daripada Kulliyyah Pelancongan Mampan dan Bahasa Kontemporari (KSTCL) baru-baru ini terlibat dalam program “Jom Padan” sebagai bahan bantu belajar untuk murid-murid disleksia.
Program tersebut bertujuan mengenal pasti tahap penguasaan murid disleksia dalam membezakan huruf yang hampir sama serta membentuk suku kata.
Kelima-lima mahasiswa yang terlibat merupakan pelajar Program Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa yang mengambil kursus BMCO 4105 Komunikasi Pengantaraan Komputer di bawah seliaan Dr. Azean Idruwani Idrus.
Program yang turut melibatkan 8 orang murid disleksia ini dijalankan di Kelas Pendidikan Khas SK Simpang 5 Pekan, Tangkak.
Program tersebut memerlukan perancangan dan persiapan yang teliti, khususnya dalam merancang aktiviti-aktiviti yang interaktif bagi menarik minat murid-murid tersebut.
Program tersebut bermula dengan satu kajian rintis yang telah dijalankan pada 10 April lalu bertujuan membuat penilaian awal terhadap tahap penguasaan murid disleksia serta kesesuaian tentatif program yang dirancang.
Kajian rintis ini juga melibatkan sesi perjumpaan bersama Guru Penolong Kanan Pentadbiran, Md. Fauzi Abdullah bagi membincangkan masalah pembelajaran yang dihadapi oleh murid disleksia di sekolah itu.
Setelah kajian rintis dijalankan, beberapa penambahbaikan telah dilakukan, khususnya terhadap aktiviti dan elemen-elemen gamifikasi “Jom Padan”.
Seorang wakil program Izzati Ali berkata, program tersebut diteruskan di lokasi yang sama dan dimulakan dengan sesi suai kenal antara mahasiswa dan murid-murid yang terlibat bagi mewujudkan suasana pembelajaran yang mesra dan santai.
Kemudian, murid-murid didedahkan dengan tayangan video ABC sebelum menjalankan aktiviti menulis ABC yang menumpukan kepada pengenalan huruf dan sebutan asas.
Program ini diteruskan dengan tayangan video pembentukan suku kata bagi mendedahkan kepada murid-murid mengenai cara membina suku kata.
Tayangan video tersebut menggunakan teknik sebutan secara perlahan dan berulang-ulang. Seterusnya, murid-murid meneruskan aktiviti membentuk dan menyebut semula suku kata sebagai pengukuhan terhadap pembelajaran suku kata.
Tayangan video terakhir pula memfokuskan kepada cara penyebutan suku kata asas yang melibatkan gabungan huruf vokal seperti ‘ba’, ‘be’, ‘bi’, ‘bo’ dan ‘bu’.
Selepas tayangan video, murid-murid diminta untuk menyanyikan semula suku kata tersebut tanpa iringan muzik sebagai latihan pengukuhan. Aktiviti ini menguji tahap penguasaan murid-murid terhadap apa yang dipelajari.
Setelah menjalankan sesi pembelajaran interaktif, murid-murid diberikan masa untuk menjawab soalan dalam gamifikasi digital “Jom Padan” yang berunsurkan huruf dan suku kata sebagai penilaian kepada tahap penguasaan mereka.
Antara gamifikasi yang dijalankan ialah gamifikasi “Pusing Suku Kata” yang memerlukan murid-murid untuk memusing roda digital dan menjawab soalan binaan suku kata yang dipaparkan.
Selain itu, gamifikasi kedua iaitu “Teka Huruf” pula memerlukan murid-murid melengkapkan huruf yang hilang bagi membentuk ejaan yang lengkap. –UTUSAN









