Pas jangan buat UMNO jadi ‘sawan’

Pas jangan buat UMNO jadi ‘sawan’

TUJUH nafas segar untuk UMNO hanya akan bermakna jika diterjemahkan melalui tindakan, bukan sekadar retorik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: UMNO diingatkan supaya lebih bijak memilih rakan kerjasama politik bagi memastikan kepentingan parti dan perjuangan orang Melayu terus terpelihara dalam menghadapi landskap politik semakin dinamik.

Ketua Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Mohamad Fadil Md. Zain berkata, kerjasama politik yang terjalin perlu memberi manfaat kepada kedua-dua pihak dan tidak mengulangi pengalaman buruk yang pernah dilalui UMNO.

Mengambil kira dinamika politik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, beliau secara berseloroh mengingatkan Pas supaya tidak membuatkan UMNO kembali ‘sawan’ susulan kerjasama yang dijalinkan bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

“Dalam suasana politik yang sangat dinamik ini, UMNO perlu bijak memilih rakan kerjasama. Kalau UMNO salah pilih kawan, takut nanti kita yang sawan. Kalau UMNO salah memilih rakan, takut nanti kita yang kena makan. Kalau UMNO salah memilih sahabat, takut nanti ahli kita pula yang kena sebat. Sebab itu kita perlu bijak.

“Dan hari ini di Negeri Sembilan, kita telah memilih Pas sebagai salah seorang kawan. Kepada Pas, kami mohon supaya jangan buat kami kembali sawan,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.

Mohamad Fadil berkata, UMNO dan Pas perlu memahami realiti politik semasa yang memerlukan penyatuan orang Melayu bagi memastikan kuasa politik dapat digunakan untuk memperjuangkan kepentingan rakyat.

Katanya, tanpa kuasa politik, segala hasrat dan cita-cita untuk membela nasib rakyat tidak akan dapat direalisasikan sepenuhnya.

“Mampukah kita memperjuangkan kesemua ini tanpa kuasa di tangan kita? Jawapannya jelas. Kita tidak mampu.

“Sebab itu kita mesti memahami realiti politik. Politik bukan sekadar soal emosi atau persepsi, sebaliknya soal tanggungjawab, keberanian membuat keputusan dan kebijaksanaan menentukan jalan terbaik demi masa depan rakyat dan negara,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberi jaminan kepada MCA dan MIC supaya tidak bimbang dengan usaha penyatuan Melayu yang menurutnya telah membuktikan keberkesanannya dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan.

“Kepada MCA dan MIC, saya ingin katakan, anda tidak perlu takut dengan penyatuan ini. Anda tidak perlu gentar dengan kerjasama ini kerana di Negeri Sembilan, kami telah membuktikannya.

“Daripada tidak mempunyai satu pun kerusi, MCA berjaya memperoleh dua kerusi DUN di Negeri Sembilan. Lebih membanggakan, calon MCA berjaya mengalahkan Setiausaha Agung DAP,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×