Panas terik tidak halang media kumpul di rumah Najib

Panas terik tidak halang media kumpul di rumah Najib

PENGAMAL media tempatan dan antarabangsa terus berkumpul di hadapan kediaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Langgak Duta di sini, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Cuaca panas terik tidak menghalang pengamal media tempatan dan antarabangsa terus berkumpul di hadapan kediaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Langgak Duta, di sini, hari ini.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati beberapa petugas media masih menunggu di hadapan kediaman yang didakwa bakal menjadi lokasi tahanan rumah Najib sejak pagi tadi.

Setakat pukul 12 tengah hari ini, tiada pergerakan keluar masuk daripada kediaman terbabit. 

Media semalam melaporkan sebenar tahanan dalam rumah ke atas Najib tidak dapat disahkan selagi bekas Perdana Menteri itu belum menjelaskan denda RM50 juta yang ditetapkan.

Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar berkata, selagi bayaran denda tersebut belum dilunaskan, Najib akan terus ditahan di Penjara Kajang.

Setakat ini, keluarga Datuk Seri Najib belum membayar denda. Selepas pembayaran dibuat, saya tidak boleh jangka secara tepat bilakah beliau akan dibawa pulang ke rumah.

“Prosedur operasi standard (SOP) tahanan rumah ke atas Najib akan diperinci oleh Jabatan Penjara,” katanya.

Pada masa ini, Najib mempunyai dua buah rumah di Kuala Lumpur iaitu di Langgak Duta dan Pavilion.

Mengikut Seksyen 3 Akta Penjara 1995 (Akta 537), kuasa kepada Menteri untuk melalui pemberitahuan dalam Warta, mengisytiharkan mana-mana rumah, bangunan, kepungan atau tempat sebagai penjara bagi maksud Akta berkenaan.

Peruntukan sama turut membolehkan sesuatu premis yang telah diisytiharkan sebagai penjara dihentikan status berkenaan melalui kaedah yang sama.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Anuar Bakri Abdul Salam dilaporkan berkata, tiada pagar besi atau kawalan keselamatan ketat akan dipasang di kediaman Najib di Jalan Langgak Duta di sini sekiranya beliau menjalani tahanan rumah di sana.

Beliau berkata, aspek kawalan keselamatan akan dibahagikan antara Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Penjara.

Menurutnya, pihak Jabatan Penjara akan bertanggungjawab terhadap kawalan di bahagian dalam kediaman manakala polis mengawal aspek keselamatan di bahagian luar.

“Tiada (pagar besi). Kawalan adalah seperti biasa. Pihak penjara akan bertanggungjawab di bahagian dalam, manakala pihak polis akan bertanggungjawab di bahagian luar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×