Pakar India latih anjing ‘hidu’ kanser

Pakar India latih anjing ‘hidu’ kanser

PEKERJA memantau ujian pengesanan kanser di makmal Dognosis di kampung Kempohalli, pinggir Bengaluru. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP minggu selepas anjing penyelamat diberi nama Chloe puas bermain di atas rumput di sebuah ladang makmal teknologi Bengaluru, haiwan itu akan dibawa berlatih menghidu nafas manusia bagi mengesan kanser dengan sedikit bantuan kecerdasan buatan (AI).

Dilengkapi topi keledar bercetak 3D dan alat keselamatan yang dipenuhi sensor, Chloe merupakan sebahagian daripada usaha eksperimen untuk memanfaatkan deria bau luar biasa anjing bagi membangunkan ujian penyakit yang tidak memerlukan prosedur invasif.

Memuatkan artikel berkaitan…

Semakin banyak kajian di seluruh dunia menunjukkan anjing boleh dilatih untuk mengesan kanser dan penyakit lain pada manusia, daripada Parkinson hingga Covid-19.

Syarikat pemula Dognosis yang berpangkalan di Bengaluru, India menggunakan AI untuk menganalisis aktiviti otak, pernafasan dan bahasa tubuh anjing, sekali gus menukarkan tindak balas mereka terhadap bau kepada data.

“Dalam tempoh sejam, ia boleh menghidu beribu-ribu kali. Setiap satu sedutan boleh digunakan untuk menilai satu sampel,” kata pengasas bersama Dognosis, Akash Kulgod, 26, kepada AFP.

Diognosis berharap melancarkan perkhidmatannya secara komersial tahun depan, yang menurut syarikat itu akan menjadikannya syarikat ketiga seumpamanya selepas firma dari Jerman dan Israel.

Pengesanan awal boleh memberikan perbezaan besar terhadap kadar kelangsungan hidup pesakit kanser. Namun di India, ramai pesakit hanya didiagnosis selepas penyakit itu sudah merebak.

Deria bau anjing berpotensi menjadi kaedah saringan awal yang mudah dan mampu milik untuk digunakan secara meluas bagi mengenal pasti kes yang memerlukan pemeriksaan lanjut.

Dalam usaha mendapatkan kelulusan komersial, Dognosis yang mendapat sokongan firma modal teroka, termasuk Accel India bekerjasama dengan institusi perubatan kerajaan dalam penyelidikannya.

Chloe, anjing kacukan Labrador, merupakan antara 15 ekor anjing yang dilatih syarikat itu dengan mengenakan topi keledar khas untuk mengumpulkan data.

“Ia seperti sut ‘Iron Man’ untuk anjing,” kata Kulgod, yang berasal daripada keluarga doktor dan mempelajari sains kognitif di Universiti California, Berkeley.

Kajian memberangsangkan

Kajian menunjukkan penyakit boleh mengubah bahan kimia yang dikeluarkan oleh tubuh, sekali gus menghasilkan bau yang tersendiri.

Anjing mempunyai kira-kira 300 juta reseptor bau berbanding sekitar lima juta pada manusia.

Kaedah ujian itu mudah, pesakit bernafas ke dalam pelitup muka kapas selama kira-kira 10 minit sebelum pelitup itu dimasukkan ke dalam beg dan dihantar ke makmal. Pesakit tidak perlu berhadapan dengan anjing berkenaan.

Satu kajian Dognosis baru-baru ini membabitkan lebih 1,500 peserta dari enam hospital di negeri Karnataka diterbitkan dalam Journal of Clinical Oncology.

Syarikat itu berkata, kajian berkenaan mencapai kadar ketepatan lebih 90 peratus bagi tujuh jenis utama kanser dan kini merancang untuk menjalankan ujian dalam program dunia sebenar.

Ketua Onkologi Ramaiah Memorial Hospital, Santhosh Kumar Devadas yang tidak terlibat dalam projek itu menyuarakan keyakinan terhadap projek tersebut dan berharap kajian membabitkan kumpulan yang jauh lebih besar dibuat sebelum kesimpulan muktamad dibuat.

India menyifatkan kanser sebagai kebimbangan kesihatan awam utama, dengan seorang daripada setiap sembilan penduduknya yang berjumlah 1.4 bilion berkemungkinan menghidap penyakit itu.

Dognosis berkata, syarikat itu berhasrat meningkatkan perubatan proaktif dan pencegahan selain memperkukuh komunikasi antara manusia dan anjing.

Kebanyakan anjing yang digunakan syarikat berkenaan adalah baka Beagle, selain beberapa ekor kacukan Malinois dan Shepherd yang diperoleh melalui proses pengambilan angkat atau penternak berlesen. Namun, hanya anjing terbaik dipilih.

Pasukan anjing itu menyenaraikan setiap haiwan secara individu di laman web syarikat sebagai ‘penghidu rasmi’, lengkap dengan gambar masing-masing.

Kesemua anjing itu mempunyai keseimbangan kerja dan kehidupan yang baik, dengan tempoh bekerja dihadkan kepada sekitar 30 hingga 45 minit sehari.

Di sebuah pusat yang dikenali sebagai ‘Sniffspace’, anjing berkenaan akan menguji sampel manusia di atas platform yang dilengkapi alat pemberi makanan automatik untuk mengeluarkan makanan ringan sebagai ganjaran.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×