KUALA LUMPUR: Bulan Oktober diisytiharkan sebagai bulan Al-Quran, dengan pelbagai program akan dilaksanakan di seluruh negara sempena pengisytiharan itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, pengisytiharan itu dibuat bersempena Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-66 tahun ini.
Katanya, antara program dirancang adalah kempen membaca Al-Quran, tadabbur, tafakur, ta’assur, kelas tajwid, forum, seminar, khatam Al-Quran serta aktiviti tilawah dan hafazan.
“Selain itu, kita juga akan perbanyakan program di seluruh negara dengan program seperti khatam al-Quran, tafsir Al-Quran dan juga seni khat al-Quran sepanjang bulan Oktober.
“Penghayatan itu diharapkan dapat mendekatkan keluarga dengan Al-Quran, selain membantu golongan muda mencintai dan memahami kitab suci dalam kehidupan,” katanya semasa sidang akhbar Pra Pelancaran MTHQA Tahun 1448/2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.
Beliau berkata, MTHQA ke-66 turut diadakan bersempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 selaras usaha memperkenalkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan Islam di peringkat antarabangsa.
Katanya, Malaysia juga mahu diketengahkan sebagai salah satu pusat kecemerlangan Al-Quran di peringkat antarabangsa melalui penganjuran MTHQA tahun ini.
“Tetamu antarabangsa diharapkan membawa pulang pengalaman tentang Malaysia sebagai negara Islam yang aman, makmur, progresif dan menghargai kepelbagaian masyarakat.
“MTHQA ke-66 akan berlangsung dari 6 hingga 10 Oktober 2026 sekali gus menghidupkan bulan Al-Quran,” katanya.-UTUSAN










