PETALING JAYA : Serangan kumpulan Houthi terhadap Arab Saudi dilihat sebagai kesinambungan perang proksi yang membabitkan Iran dan Riyadh, dengan Yemen menjadi antara medan utama persaingan geopolitik kedua-dua kuasa serantau itu.
Pensyarah Undang-Undang Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Salawati Mat Basir berkata, kedudukan Houthi yang mempunyai hubungan rapat dengan Iran menjadikan perkembangan terbaharu itu perlu dilihat dalam konteks persaingan lebih luas antara Teheran dan Riyadh.
Beliau berkata, perkembangan itu juga perlu dilihat dalam kerangka perang maklumat apabila serangan terhadap Arab Saudi boleh mencetuskan pelbagai naratif termasuk dakwaan mengenai sasaran kota suci.
“Sebenarnya ini adalah perang panjang antara Arab-Saudi dan Iran. Orang Syiah sememangnya tidak disukai oleh orang Sunni. Ia hanya sambungan kepada siri perang antara proksi kedua-dua negara sahaja.
“Banyak musuh hendak memecah-belahkan Islam. Walaupun Houthi adalah berfahaman Syiah, mereka bukan hendak menyerang kota suci Mekah. Mungkin masa serangan itu hanya keadaan berjaga-jaga sahaja.
“Sebab banyak tempat yang diserang adalah di kawasan selatan Arab-Saudi yang sangat jauh dengan Masjidil Haram,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Baru-baru ini, Kerajaan Arab Saudi berikrar akan menyekat sebarang ancaman keselamatan terhadap Mekah dan Madinah selepas berjaya memintas serangan dron kumpulan Houthi, petang Selasa, minggu lalu.
Riyadh juga menegaskan Masjidil Haram dan Masjid Nabawi serta jemaah umrah sebagai ‘garis merah’ yang tidak boleh dibolosi oleh sebarang ancaman.
Salawati berkata, perkembangan hubungan Arab Saudi dengan Israel turut menjadi sebahagian daripada konteks geopolitik yang lebih luas di rantau berkenaan, khususnya ketika Riyadh berdepan tekanan keselamatan dan persaingan serantau.
Beliau berkata, usaha ke arah menormalisasikan hubungan Arab Saudi-Israel sememangnya pernah menjadi agenda diplomatik utama sebelum perang Gaza tercetus pada Oktober 2023, namun perkembangan itu kemudian terjejas akibat konflik berkenaan.
“Aspek kerjasama strategik sebenarnya sudah lama (Arab Saudi-Israel). Amerika Syarikat yang memikul beban yang banyak menjadikan tempoh ini sebagai masa yang bersesuaian untuk menekan Arab Saudi mempercepatkan proses normalisasi itu,” katanya.











