Murid tahfiz, pelajar tingkatan lima maut kemalangan berasingan di Temerloh

Murid tahfiz, pelajar tingkatan lima maut kemalangan berasingan di Temerloh

KEADAAN kenderaan yang terlibat kemalangan maut di Kilometer 2 Jalan Temerloh- Mentakab, Pahang. - IHSAN IPD TEMERLOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Seorang murid tahfiz berusia sembilan tahun dan seorang pelajar tingkatan lima maut  dalam kemalangan berasingan di daerah ini dalam tempoh kira-kira tiga jam, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, kedua-dua kejadian itu masing-masing berlaku di Kilometer 2,Jalan Temerloh-Mentakab dan Kilometer 116, Jalan Kuala Lumpur-Kuantan.

Katanya, dalam kejadian pertama kira-kira pukul 2.08 petang, murid Maahad Tahfiz Integrasi Al-Mukmin, Nur Yuuna Aqilah Syafriyandi maut selepas motosikal dibonceng bersama bapanya terbabas sebelum dilanggar sebuah Perodua Bezza.

Menurutnya, motosikal Honda Beat 110 yang ditunggang bapa mangsa, Syafriyandi Ismail, 55, itu dari arah menuju Bandar Mentakab.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, penunggang dipercayai hilang kawalan lalu motosikal terbabas, melanggar penghadang batu di tengah jalan sebelum bapa dan anak itu terjatuh di laluan bertentangan.

“Pada masa sama, Perodua Bezza yang dipandu lelaki berusia 21 tahun dari arah Bandar Temerloh tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa,” katanya di sini.

Mohd. Nasyim berkata, Nur Yuuna  Aqilah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala bapanya mengalami kecederaan dan turut mengalami serangan sakit jantung sebelum dibawa ke Zon Merah Hospital Temerloh.

Beliau berkata, dalam kejadian kedua kira-kira pukul 5.01 petang di Kilometer 116,Jalan Kuala Lumpur-Kuantan, Alam Batrisyia Adriana Batolji, 17, maut selepas motosikal Yamaha 135LC ditunggangnya bertembung dengan Toyota Vios.

Mangsa yang merupakan pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seberang Temerloh, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Mohd. Nasyim berkata, siasatan mendapati, pemandu Toyota Vios berusia 65 tahun itu sedang keluar dari simpang Jalan Gau Aman sebelum membelok ke kanan menuju Kuala Lumpur.

“Pada masa sama, mangsa yang datang dari arah Kuala Lumpur menuju Kuantan tidak sempat mengelak lalu bertembung dengan kereta berkenaan,” katanya.

Menurutnya, kemalangan kedua dipercayai berlaku akibat kecuaian pemandu Toyota Vios yang keluar dari simpang tanpa memberikan keutamaan kepada kenderaan yang bergerak lurus di laluan utama.

Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×