Mungkin penonton kita terlalu sensitif – Rina Khan - Utusan Malaysia

Mungkin penonton kita terlalu sensitif – Rina Khan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dunia penulisan skrip tempatan sememangnya tidak pernah sunyi daripada perdebatan mengenai kreativiti, selera penonton dan hala tuju drama Melayu.

Bagi penulis skrip dan pengarah, Rina Khan, cabaran terbesar pengkarya hari ini bukan sekadar menghasilkan cerita yang baik, tetapi bagaimana memastikan karya berbeza mampu diterima penonton.

Menurut Rina, kecenderungan penonton terhadap tema yang sama menyebabkan penulis skrip terpaksa berdepan dengan dilema antara menghasilkan karya yang dekat dengan selera majoriti atau bereksperimen dengan sesuatu yang baharu.

Dalam keadaan itu, tema seperti kecurangan, perebutan pasangan dan konflik cinta tiga segi dianggap sebagai formula yang lebih selamat untuk pasaran televisyen.

Bagaimana Rina melihat hala tuju dunia penulisan skrip kita ketika ini? Adakah semakin baik?

Kita sebagai penulis skrip ada idea yang cuba kita ketengahkan. Selalunya kita ambil inspirasi daripada cerita Korea atau Hindustan. Kita tengok, “Oh, tema ini menarik”, jadi, kita cuba garapkan dalam versi Melayu yang sesuai dengan kita. Tetapi selalunya tidak berjalan. Ia masih lagi berkisar tentang curang, kau rampas laki aku, aku rampas laki engkau dan cerita tiga segi. Persoalannya, siapa sebenarnya yang mahukan keadaan itu? Ia bermula dari mana dan apa sebenarnya kehendak penonton? Saya percaya, bukan stesen televisyen tidak cuba menghasilkan produk yang lain. Mereka cuba juga, tetapi mungkin penangannya tidak ‘sehebat’ cerita mengenai kecurangan.

Tetapi sampai bila naskhah kita akan terlihat ‘begitu-begitu’ sahaja?

Saya rasa betul juga apa yang mereka katakan, tetapi masalahnya, mereka tidak menonton drama Melayu. Jadi, rating kita tidak boleh naik. Kita tidak boleh ikut kesukaan mereka kerana mereka sendiri tidak menyokong. Jadi, kita terpaksa ikut kesukaan majoriti yang masih mahukan cerita kau rampas laki aku, aku rampas laki engkau. Tema itu selamat. TV boleh jual dan semuanya begitu.

Sebagai penulis, tidakkah keadaan itu membuatkan Rina penat untuk berkarya?

Penat juga hendak berkarya dan keluarkan karya begitu sahaja. Macam karya terakhir saya, Jiwa Seorang Pentaksub. Itu sebab bos pada masa itu memang mahukan cerita begitu dan dia perjuangkan. Dia hendak main watak itu. Jadi, kita sebagai penulis skrip dapat sesuatu yang menarik. Kita ada cabaran baharu. Kita tidak perlu cerita tentang rampas laki orang. Sekali-sekala kita dapat projek macam itu. Tetapi kita masih kena ikut majoriti publik dan kehendak penonton.

Adakah komen negatif daripada penonton dan warga net boleh menyekat kreativiti penulis skrip?

Orang hendak kata apa, orang boleh kata. Tetapi tengok kepada apa yang kita beri dan kita jual. Contohnya drama Jiwa Seorang Pentaksub. pertama, Syam keluar dari bilik dengan tiga perempuan. Orang terus bantai. Tetapi kita semua sudah tahu apa cerita sebenarnya. Kita tahu tidak ada adegan pegang-pegang pun. Cuma situasinya, perem­puan-perempuan itu berbaring dan nampak seolah-olah begitu. Kita tidak memberikan bayangan pun dia memegang mereka, tetapi lakonan dia sangat kuat. Bahasa tubuhnya membuatkan orang nampak seolah-olah berlaku sesuatu.

Ada berpendapat penonton drama Melayu sekarang terlalu sensitif. Setuju?

Masalah sekarang mungkin penonton kita yang terlalu sensitif. Kita cakap macam itu, tetapi kita kena tengok juga produk yang kita hasilkan. Manusia ini ada satu perangai. Apabila diberi muka terlebih-lebih, kadang-kadang kita tidak sedar diri dan keadaan boleh jadi sangat parah. Itu dari sudut psikologi. Kadang-kadang, bukan semua, tetapi ada komen yang melampau.
Sebab mereka tahu mereka ada kumpulan yang akan menyokong mereka. Jadi, sebab kumpulan itu jugalah mereka berani bercakap.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×