Mohd. Zaidi letak jawatan Ahli Majlis MBSP selepas kritik DAP

Mohd. Zaidi letak jawatan Ahli Majlis MBSP selepas kritik DAP

MOHD. Zaidi Mohd. Said (kiri) menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Datuk Bandar MBSP, Datuk Baderul Amin Abdul Hamid, kelmarin.-GAMBAR/FACEBOOK MEDIA UMNO PERMATANG PAUH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd. Zaidi Mohd Said mengesahkan bahawa beliau telah melepaskan jawatannya sebagai Ahli Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) berkuat kuasa kelmarin susulan kritikan lantangnya terhadap DAP pada Persidangan Agung UMNO, baru-baru ini.

Surat peletakan jawatan bertarikh 14 September itu kemudian dimuat naik oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang merangkap Penolong Setiausaha DAP Pulau Pinang, H’Ng Mooi Lye ke dalam laman Facebook rasmi milik beliau, hari ini.

Menurut Mohd. Zaidi, sebagai Ahli Majlis dalam sebuah negeri yang pentadbirannya diterajui oleh DAP, beliau tidak sepatutnya melanggar ‘garis merah’ dalam tatakelola, adab dan prinsip pentadbiran kerana beliau adalah sebahagian daripada anggota yang dilantik oleh pentadbiran negeri.

Justeru katanya, keputusan melepaskan jawatan itu diambil demi melepaskan ‘kaki dan tangan’ untuk beliau terus berjuang, berpegang teguh kepada prinsip dan idealisme yang dipertahankan oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN) selama ini.

“Saya tegaskan dalam surat saya bahawa UMNO dan DAP adalah dua parti yang telah sekian lama berbeza prinsip perjuangan dan tidak mungkin dalam masa sesingkat ini kita (merujuk kepada UMNO dan DAP) mampu melangkah seiringan.

“Saya tidak boleh terus berpura-pura untuk menjadi ‘tunggul’ walaupun saya sangat menghormati kepimpinan YAB (Yang Amat Berhormat) PMX (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim) di peringkat Persekutuan dan Ketua Menteri, Tuan Chow Kon Yeow di peringkat negeri,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, perbezaan ideologi dan pandangan tidak semestinya meletakkan UMNO dan DAP dalam perseteruan serta permusuhan sepanjang masa.

“Permohonan maaf saya adalah atas kapasiti sebagai Ahli Majlis yang tidak sepatutnya bercakap sedemikian. Ia bukan bermaksud saya menarik balik segala kata-kata yang saya ucapkan kerana saya yakin dan jelas bahawa ucapan saya adalah benar.

“Kesemua yang berlaku akhirnya adalah untuk agama, bangsa dan tanah air tercinta,” ujar beliau.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×