Mohd. Marzuki CEO baharu SKM

Mohd. Marzuki CEO baharu SKM

MOHD. MARZUKI YASOA'
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) melantik Mohd. Marzuki Yasoa’ sebagai Ketua Pegawai Eksekutifnya yang baharu berkuat kuasa semalam.

Mohd. Marzuki yang mempunyai lebih 26 tahun pengalaman dalam gerakan koperasi akan menerajui pengurusan dan operasi harian suruhanjaya itu.

SKM memaklumkan, pelantikan itu merupakan langkah penting bagi memperkukuh kepimpinan dan kesinambungan pentadbiran.

Katanya, ia sejajar dengan usaha memperkasa gerakan koperasi sebagai penyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara.

“Beliau juga akan memastikan dasar, strategi dan program pembangunan koperasi dilaksanakan secara berkesan, berintegriti dan berimpak.

“Kepimpinan beliau diharapkan dapat memperkukuh keupayaan SKM dalam menghadapi landskap gerakan koperasi yang semakin dinamik, sekali gus meningkatkan daya saing, profesionalisme dan tadbir urus sektor tersebut,” katanya.

Menurut SKM, pelantikan itu dibuat ketika gerakan koperasi negara memerlukan pendekatan lebih strategik, inovatif dan peka terhadap perubahan ekonomi serta keperluan anggotanya.

Katanya, di bawah kepimpinan baharu, SKM akan terus memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh ekosistem koperasi menerusi pemerkasaan tadbir urus dan peningkatan keupayaan koperasi.

SKM berkata, usaha tersebut turut meliputi pengembangan aktiviti perniagaan, penggalakan inovasi serta mempercepat transformasi pendigitalan dalam sektor koperasi.

“Sebagai badan kawal selia tunggal gerakan koperasi negara, SKM akan meneruskan kerjasama rapat dengan Institut Koperasi Malaysia (IKMa) dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa).

“Kerjasama itu penting bagi memastikan hala tuju pembangunan koperasi negara kekal berfokus, tersusun dan saling melengkapi,” katanya.

SKM akan memperhebat kerjasama strategik dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop), kementerian serta agensi kerajaan, kerajaan negeri dan pemegang taruh gerakan koperasi.

“Langkah tersebut bagi memastikan sektor koperasi terus berkembang sebagai antara pemacu penting ekonomi negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×