Malaysia perlu kuasai teknologi sendiri

Malaysia perlu kuasai teknologi sendiri

CHANG Lih Kang berucap pada Pertandingan Akhir Cabaran Sains Kebangsaan 2026 Piala Pusingan YAB Perdana Menteri di Institut Kesihatan Negara (NIH) di sini hari ini. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Malaysia tidak boleh selama-lamanya menjadi pengguna teknologi yang dicipta negara lain, sebaliknya perlu berupaya mencipta, memiliki dan menguasai teknologi sendiri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, negara kini berada pada satu titik penting dalam perjalanan pembangunan yang menuntut penguasaan dalam bidang sains dan teknologi.

Katanya, negara berdepan pelbagai cabaran sebenar termasuk keterjaminan makanan, bekalan tenaga, kesihatan awam, keselamatan air, perubahan iklim dan penggunaan kecerdasan buatan (AI) secara bertanggungjawab.

“Cabaran yang sedang kita hadapi bukanlah sesuatu yang abstrak. Ia menuntut ilmu yang kukuh serta keberanian membuat keputusan berasaskan bukti.

“Namun, setiap cabaran juga merupakan peluang untuk mencipta sesuatu yang lebih baik. Segala penyelesaian besar bermula dengan satu persoalan kecil: Mengapa masalah ini berlaku dan apakah yang boleh saya lakukan untuk mengubahnya?” katanya.

Beliau berkata demikian pada Pertandingan Akhir Cabaran Sains Kebangsaan (NSC) 2026 Piala Pusingan YAB Perdana Menteri di Institut Kesihatan Negara (NIH), hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang.

Perdana Menteri berkata, pendidikan sains tidak boleh terhenti pada hafalan formula dan pencapaian peperiksaan, sebaliknya perlu membentuk cara berfikir yang kritikal terhadap fakta, terbuka kepada idea serta berani mencuba.

Katanya, enrolmen murid dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) meningkat daripada 40.95 peratus pada 2021 kepada 50.83 peratus pada 2024.

“Bagaimanapun, penyertaan dalam sains tulen masih sekitar 15.8 peratus, sekali gus menunjukkan masih terdapat jurang antara minat terhadap STEM dengan kesediaan murid untuk mendalaminya.

“Tugas kita bukan sekadar menggalakkan lebih ramai pelajar memilih STEM. Kita mesti memastikan mereka terus bertahan, berkembang dan berjaya dalam bidang tersebut,” katanya.

Sehubungan itu, Anwar berkata, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), Akademi Sains Malaysia (ASM) dan Kementerian Pendidikan serta rakan strategik perlu menjadikan NSC sebagai laluan pembangunan bakat secara berterusan.

Katanya, peserta berpotensi khususnya dari luar bandar, Sabah dan Sarawak serta keluarga berpendapatan rendah perlu terus dihubungkan dengan mentor, makmal, biasiswa dan rangkaian inovasi.

“Bakat ada di mana-mana. Tanggungjawab kita ialah memastikan peluang juga ada di mana-mana.

“Kita mahu idea yang lahir di sekolah hari ini berkembang menjadi penyelidikan, teknologi, inovasi dan perusahaan yang mampu menyelesaikan masalah sebenar rakyat serta mengangkat daya saing Malaysia di peringkat dunia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×