BOSTON: Penyanyi Rap, Macklemore digugurkan daripada menjadi artis persembahan pembukaan untuk konsert jelajah Ed Sheeran selepas melaungkan ‘Free Palestine’ semasa persembahan di Stadium MetLife, Amerika Syarikat, awal bulan ini.
Macklemore melaungkan sokongan kepada Palestin sebelum menyanyikan Hind’s Hall iaitu sebuah lagu protes terhadap serangan di Gaza pada 2023.
Dalam konsert itu, dia turut menayangkan video muzik memaparkan protes pelajar Amerika Syarikat terhadap pembunuhan beramai-ramai di Gaza.
“Saya mahu berdiri di sini, di atas pentas dan stadium di seluruh Amerika dan mengucapkan dua perkataan yang sangat dekat dan disayangi di hati saya iaitu ‘Bebaskan Palestin’,” katanya.
Sejak kejadian itu, Macklemore menerima kecaman, termasuk daripada Liga Anti-Pencegahan Fitnah (Anti-Defamation League) dan kumpulan StopAntisemitism.
Majlis Israel-Amerika (Israeli-American Council) menerbitkan petisyen dalam talian menggesa Sheeran menggugurkan penyanyin rap itu dalam siri jelajah konsert Loop.
Dalam pada itu Messina Touring Group, iaitu penganjur siri jelajah Sheeran, mengesahkan penyanyi itu telah digugurkan daripada semua konsert Ed Sheeran dalam satu kenyataan, semalam.
Menerusi perkongsian di media sosial, Macklemore mengesahkan perkara itu sekali gus mengajak orang ramai untuk memberi perhatian kepada mangsa sebenar iaitu rakyat Palestin.
“Mangsa sebenar adalah rakyat Palestin yang dibunuh, dibiar kelaparan, tidak mempunyai tempat tinggal dan dipaksa hidup dalam keganasan yang dahsyat.
“Lebih 20,000 kanak-kanak dibunuh di Gaza, mereka kalau tidak dibunuh hari ini akan dibunuh besok. Saya harap kita semua tak salah memberikan fokus kepada isu yang sebenar,” katanya. -UTUSAN










