SEREMBAN: Seorang lelaki ditahan bersama 355 botol air ketum dan 2,087 gulung daun ketum dalam operasi di sebuah rumah kedai di Taman Sri Mawar, Senawang, di sini, kelmarin.
Operasi yang dijalankan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Seremban membabitkan nilai rampasan berjumlah lebih RM15,000.
“Suspek berusia 35 tahun yang juga orang yang disyaki (OYDS) ditahan kira-kira pukul 11.15 malam dan barang kes diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban untuk tindakan lanjut,” kata AADK Negeri Sembilan dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. – UTUSAN










