KPKM perkukuh industri benih tanaman negara

KPKM perkukuh industri benih tanaman negara

MOHAMAD Sabu (tengah) pada majlis perasmian Baja Premium Care sambil diiringi Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Muhammad Faris Arriffin (kiri); Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mahfuz Omar; Ahli Lembaga Pengarah Nafas Bajakimia, Haris Alimudin (dua dari kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Nafas Bajakimia, Zalifudin Md. Arshad (kanan) sempena Pameran Pertanian, Hortikultur & Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di MAEPS, Serdang, hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: Industri benih tanaman negara akan diperkukuh menerusi kawal selia, pembangunan kapasiti pengeluar serta sokongan penyelidikan dan pembiakbakaan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap sumber import.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ia penting bagi memperkukuh keterjaminan makanan negara selepas hampir 90 peratus keperluan biji benih sayur-sayuran negara masih diimport Ketika ini. 

Malah katanya, pada tahun 2021, nilai import benih sayuran adalah sekitar lima juta dolar Amerika Syarikat (kira-kira RM20.19 juta ) dan meningkat kepada AS$70 juta (RM282.65 juta) pada tahun lalu. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Keadaan itu boleh mendedahkan sektor tanaman kepada risiko gangguan rantaian bekalan, perubahan geopolitik serta peningkatan kos input pertanian,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perasmian Program Pemerkasaan Industri Benih Tanaman Negara dalam Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di sini hari ini.

Dalam pada itu Mohamad berkata, kerajaan sedang mengambil pendekatan menyeluruh untuk merapatkan jurang itu  dengan membina keupayaan industri biji benih tempatan supaya mampu menghasilkan benih yang berdaya saing, inovatif dan memenuhi keperluan negara.

“Salah satu tonggak utama usaha ini ialah pengukuhan kerangka perundangan, KPKM kini berada pada fasa akhir dalam penggubalan Rang Undang-Undang Kualiti Benih Tanaman (RUU KBT) di samping melaksanakan pindaan terhadap Akta Perlindungan Varieti Baharu Tumbuhan 2004 (Akta 634) supaya setara dengan piawaian antarabangsa.

“Kerajaan juga akan terus memperkukuh peranan Majlis Benih Negara (MBN) serta memperluas kerjasama di peringkat serantau melalui ASEAN Seed Council (ASC) dan persatuan industri seperti National Seed Association of Malaysia (NSAM) supaya standard industri tempatan mampu bersaing di peringkat global,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini