KUALA LUMPUR: Sebanyak 2,200 peserta dari 37 negara menyertai KL Tower International Challenge 2026 di Menara Kuala Lumpur, sekali gus melepasi sasaran awal 2,000 peserta.
Ketua Pegawai Eksekutif LDH Service Master Sdn. Bhd., Khairil Faizal Othman berkata, penyertaan itu membuktikan acara tahunan yang memasuki edisi ke-24 semakin mendapat sambutan, bukan sahaja dalam kalangan peserta tempatan, malah di peringkat antarabangsa.
Menurutnya, pelaksanaan sistem mata yang membolehkan atlet mengumpul mata untuk ranking serta kejohanan antarabangsa turut menjadi antara faktor peningkatan penyertaan dari luar negara.
“Penganjuran membabitkan sistem mata membolehkan atlet bersaing dalam ranking serta kejohanan antarabangsa.
“Kaedah ini membolehkan peserta dari seluruh dunia menyertai acara ini dengan lebih mudah dan ia juga menjadi sebab penyertaan peserta antarabangsa menunjukkan peningkatan,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis penyampaian hadiah di sini hari ini.
Terdahulu, Khairil mengiringi Pengerusi Lim Seong Hai Capital Berhad, Tan Sri Lim Keng Cheng pada majlis pelepasan perlumbaan.
Acara itu turut mendapat sokongan Tower Running World Association (TWA) dan Malaysia Tower Running Association.
Khairil berkata, penganjuran tahun ini turut menyaksikan penyertaan golongan muda, termasuk peserta seawal usia sembilan tahun.
Larian berkenaan menawarkan enam kategori membabitkan lelaki dan wanita terbuka, veteran serta remaja.
Juara kategori remaja, Muhammad Adam Amjad Mohd. Azizul, 14, berkata penyertaan kali keduanya membuahkan hasil apabila berjaya memperbaiki catatan daripada 10 minit lapan saat tahun lalu kepada 9 minit 29 saat tahun ini.
“Kemenangan dengan hadiah wang tunai RM3,000 mendorong saya menyertai acara ini buat kali kedua dan wang berkenaan mahu digunakan untuk membeli iPad,” katanya.
Dalam kategori lelaki terbuka, pelari Poland muncul juara dengan catatan 8 minit tujuh saat, manakala wakil Malaysia, Soh Wai Ching, di tempat kedua dengan 8 minit 35 saat.
Wai Ching mengakui catatan itu mengecewakan selepas tahun lalu merekodkan 8 minit 11 saat.
“Sasaran utama adalah untuk kembali mencatat masa bawah lapan minit dan mendapatkan semula motivasi dalam latihan selepas memenangi Kejohanan Dunia di Taipei 101 pada 2024,” katanya. – UTUSAN











