Kian Ming gesa DAP beri `kata dua’ kepada Anwar `singkirkan’ UMNO - Utusan Malaysia

Kian Ming gesa DAP beri `kata dua’ kepada Anwar `singkirkan’ UMNO

ONG KIAN MING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: DAP perlu mengambil pendirian lebih jelas susulan perkembangan terbaharu membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak termasuk mempertimbangkan untuk mengemukakan `kata dua’ kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya UMNO dikeluarkan daripada Kerajaan Perpaduan.

Bekas pemimpin DAP, Ong Kian Ming berkata, langkah itu antara tindakan konkrit yang boleh diambil parti berkenaan susulan keputusan membenarkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah selepas membayar denda RM50 juta.

“DAP tidak seharusnya sekadar menyatakan menghormati keputusan Yang di-Pertuan Agong, tetapi pada masa sama menyatakan tidak bersetuju dengan keputusan berkenaan.

“Penyokongnya mahukan tindakan yang lebih konkrit daripada DAP,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Kian Ming, cadangannya itu dibuat bukan sebagai anggota parti, sebaliknya sebagai penganalisis politik yang melihat DAP perlu mengeluarkan `kata dua’ kepada Anwar supaya mengeluarkan UMNO daripada Kabinet minggu depan sebelum mesyuarat Kabinet.

Katanya, langkah itu akan menunjukkan keseriusan Pakatan Harapan (PH) dalam menyatakan ketidaksetujuan terhadap pendirian UMNO untuk memohon pengampunan bagi Najib serta mengumpul dana daripada orang ramai bagi membayar denda RM50 juta bagi pihak bekas Perdana Menteri itu.

“Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi secara terbuka mencabar Perdana Menteri supaya mengeluarkan anggota Kabinet UMNO sejak beberapa bulan lalu.

“Ini merupakan peluang terbaik untuk Anwar menyahut cabaran Zahid,” katanya.

Kian Ming berkata, sekiranya BN menarik balik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan susulan tindakan itu, Belanjawan 2027 masih berkemungkinan diluluskan pada persidangan Parlimen hujung tahun akan datang kerana kerajaan masih mempunyai majoriti kecil di Dewan Rakyat tanpa sokongan 30 Ahli Parlimen BN.

Bagaimanapun katanya, Anwar perlu segera melantik pengganti kepada tujuh anggota Kabinet daripada UMNO serta memastikan mereka bersedia untuk membentang dan membahaskan belanjawan bagi kementerian masing-masing.

Beliau berkata, mengemukakan `kata dua’ kepada Anwar lebih wajar bagi DAP berbanding mengumumkan keputusan untuk meletakkan jawatan daripada kerajaan susulan isu tahanan rumah Najib.

“Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh yang menganggotai Lembaga Pengampunan tidak wajar dipersalahkan kerana melaksanakan keputusan berkenaan yang merupakan prerogatif Yang di-Pertuan Agong menurut Perlembagaan Persekutuan.

“Jika ada yang perlu meletakkan jawatan serta-merta mungkin Nga Kor Ming yang dalam satu wawancara sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berkata, beliau akan meletakkan jawatan sebagai menteri sekiranya BN menang besar di Johor dan Najib dibebaskan.

“Namun, berdasarkan DAP, parti itu mungkin mengambil pendirian kepimpinan secara kolektif berhubung isu ini dan itu merupakan perkara yang wajar dilakukan,” katanya.

Kian Ming berkata, `kata dua’ kepada Anwar itu bagaimanapun perlu disertai ancaman yang boleh dipercayai supaya tidak dilihat sebagai kenyataan semata-mata tanpa tindakan konkrit.

Katanya, DAP perlu menyatakan bahawa parti itu akan meletakkan jawatan daripada Kabinet sebelum mesyuarat Kabinet pada Rabu, 23 September 2026, sekiranya Anwar tidak mengeluarkan UMNO daripada Kabinet.

“DAP juga boleh memilih untuk hanya mengancam meletakkan jawatan daripada kerajaan bagi memaksa Anwar mengeluarkan UMNO daripada Kabinet tanpa menyatakan sama ada parti itu akan terus menyokong Kerajaan Perpaduan sebagai penyokong kerajaan.

“Namun, bagi menjadikan ancaman itu lebih dipercayai, DAP boleh mengambil pendirian untuk meletakkan jawatan daripada Kabinet serta menarik balik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan sekiranya UMNO tidak dikeluarkan daripada Kabinet,” katanya.

Menurut beliau, jika DAP menarik balik sokongan 40 Ahli Parlimennya terhadap Kerajaan Perpaduan, perkara itu pasti membawa kepada pembubaran Parlimen sekiranya BN turut membuat keputusan sama dengan 30 Ahli Parlimennya.

Bagaimanapun katanya, strategi itu lebih berisiko kerana ia mengancam asas PH, termasuk persoalan sama ada DAP patut kekal dalam gabungan berkenaan.

“Tetapi jika isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan tahanan rumah Najib sememangnya merupakan garis merah bagi DAP, maka adalah munasabah bagi DAP untuk keluar daripada Kabinet serta menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan sekiranya Anwar tidak bersetuju dengan tuntutan itu,” katanya.

Dalam pada itu, Kian Ming mengingatkan UMNO supaya berhati-hati dalam memberi respons terhadap isu tahanan rumah Najib.

Katanya, walaupun menjadi hak parti untuk menyokong bekas pemimpinnya termasuk mengumpul dana untuk Najib, UMNO perlu mengingati bahawa peranan Najib dalam skandal 1MDB menyebabkan kerajaan BN tumbang pada Pilihan Raya Umum 2018 (PRU-18).

“Walaupun UMNO kini berada dalam kedudukan kukuh susulan kemenangan di PRN Johor dan Negeri Sembilan, parti itu tidak seharusnya menganggap sokongan pengundi Melayu akan kekal kukuh tanpa mengira tindakan politik yang diambil.

“Bagaimana jika Pas dan Perikatan Nasional (PN) melihat kelemahan sokongan awam terhadap UMNO disebabkan pendiriannya untuk terus menyokong Najib tanpa mengakui kesilapan yang berlaku dalam skandal 1MDB?

“Adakah perkara itu akan membawa kepada pertimbangan semula kemungkinan pakatan pilihan raya antara BN dan PN dalam pilihan raya umum akan datang?” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×