Kerangka Kepimpinan K-A-S-I-H : Menginspirasi Potensi Guru

Kerangka Kepimpinan K-A-S-I-H : Menginspirasi Potensi Guru

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Situasi :

“Seorang guru muda menunjukkan kebolehan yang baik dalam menggunakan teknologi dan menghasilkan bahan digital. Namun begitu, beliau pendiam, kurang yakin bercakap di hadapan orang ramai dan tidak pernah diberikan peranan kepimpinan.”

 

Sekiranya Kenali Insan membantu pemimpin memahami siapa individu tersebut, Ambil Peduli memastikan keperluannya diberi perhatian, dan Santuni dengan Empati menentukan cara pemimpin berinteraksi secara manusiawi, maka elemen keempat dalam kerangka kepimpinan K-A-S-I-H iaitu I – Inspirasi Potensi membawa individu bergerak daripada keadaan semasa kepada tahap keupayaan yang lebih tinggi.

Ringkasnya, pemimpin tidak hanya melihat siapa seseorang pada hari ini, tetapi membantu mereka melihat siapa mereka pada masa hadapan.

 

Dalam konteks kepimpinan di sekolah, pemimpin perlu melaksanakan tindakan berikut:

  • Melihat kekuatan di sebalik kelemahan
  • Mengenal pasti bakat dan keupayaan yang belum dimanfaatkan
  • Membantu individu membina keyakinan terhadap kebolehannya
  • Menanam aspirasi untuk berkembang
  • Memberikan peluang untuk mencuba dan memimpin
  • Menyediakan pandu citra ( coaching ), mentoring dan pembangunan profesional
  • Memberikan cabaran yang sesuai
  • Membenarkan ruang untuk melakukan kesilapan dan belajar
  • Memberikan pengiktirafan terhadap perkembangan
  • Membantu individu membina hala tuju kerjaya
  • Menyediakan laluan kepada kepimpinan dan kepakaran

 

Jadi dalam situasi di atas, pemimpin sekolah akan berjumpa dengan guru muda tersebut dan memaklumkan seperti ini ;

 

“Saya melihat cikgu mempunyai kekuatan yang baik dalam penggunaan teknologi. Saya juga melihat potensi cikgu untuk membantu lebih ramai guru. Apakah pandangan cikgu jika kita bangunkan kemahiran ini secara berperingkat?”

 

Seterusnya pemimpin sekolah boleh :

  1. Meminta guru berkongsi amalan dengan kumpulan kecil
  2. Memberikan pandu citra komunikasi
  3. Melantik guru sebagai fasilitator bersama
  4. Memberikan peluang mengetuai satu PLC digital
  5. Membimbingnya menyediakan modul
  6. Menghantar guru mengikuti latihan berkaitan
  7. Memberikan maklum balas selepas setiap sesi
  8. Memberikan autonomi untuk membangunkan inovasi sendiri

 

Selepas satu tempoh, hasil yang dijangkakan ialah :

  • Keyakinan guru meningkat
  • Guru mampu membimbing rakan sekerja
  • Kemahiran komunikasi bertambah baik
  • Inovasi digital berkembang
  • Guru mula mengambil peranan kepimpinan
  • Sekolah memperoleh pemimpin pelapis
  • Warga lain mendapat manfaat daripada kepakarannya

Situasi ini menunjukkan bahawa tugas pemimpin bukan hanya menggunakan kekuatan individu, tetapi mengembangkan kekuatan tersebut sehingga menjadi kapasiti baharu. Itulah hasrat utama elemen Inspirasi Potensi.

 

AHMAD SHAFRIN ABDUL AZIZ

School Improvement Partners + ( SIPartners + )

Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Langat

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×