Kali ini nasib tidak menyebelahi dia – Adik ipar Kapten Zainol

Kali ini nasib tidak menyebelahi dia – Adik ipar Kapten Zainol

GAMBAR kenangan Allahyarham Kapten Zainol Afiq Bee Sham (paling kanan) bersama keluarga ketika sambutan Aidilfitri lalu.-GAMBAR IHSAN KELUARGA.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Abang takkan sesekali terjun dari helikopter. Dia akan usaha sedaya upaya untuk mendarat dengan selamat.”

Demikian luah adik ipar Allahyarham Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 29, mengimbau kata-kata Allahyarham kepada isterinya berhubung prosedur berdepan kecemasan ketika menerbangkan helikopter.

Beliau yang dikenali sebagai aimnsuhaimi di Threads berkata, Allahyarham pernah melakukan pendaratan cemas di Lambir, Miri pada tahun lalu.

Menurutnya, pengalaman itu menjadikan kata-kata Allahyarham mengenai usaha untuk memastikan pendaratan dilakukan dengan selamat semakin terkesan selepas tragedi yang meragut nyawanya.

“Tahun lepas juga dia ada buat pendaratan kecemasan dekat Lambir, cuma kali ini nasib tidak menyebelahi dia,” katanya ketika meninggalkan komen pada hantaran pengguna Threads lain mengenai nahas helikopter di Long Lellang, Sarawak.

Dalam hantaran sama, beliau turut memohon orang ramai mendoakan kekuatan buat kakaknya yang kini kehilangan suami dalam tragedi berkenaan.

“Doakan kakak saya kuat ya,” katanya.

Allahyarham Kapten Zainol Afiq merupakan juruterbang helikopter yang terkorban dalam nahas di Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.40 petang, helikopter membawa lima individu termasuk empat petugas perubatan dilaporkan terhempas berhampiran Long Lellang STOLport. Nahas mengorbankan kesemua mereka. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×