PETALING JAYA: Kadar pengangguran di Malaysia bagi bulan Julai 2026 kekal tidak berubah pada paras 3.0 peratus berbanding bulan sebelumnya.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkata, jumlah penganggur bagaimanapun mencatatkan peningkatan 0.5 peratus kepada 520,300 orang berbanding 517,800 orang pada Jun lalu.
“Bilangan tenaga buruh pada Julai 2026 naik 0.1 peratus bulan ke bulan dengan sejumlah 17.37 juta orang berbanding 17.34 juta orang pada bulan sebelumnya.
“Kadar penyertaan tenaga buruh pula kekal pada paras 70.9 peratus manakala bilangan penduduk bekerja terus merekodkan peningkatan marginal 0.1 peratus mencatatkan 16.85 juta orang berbanding 16.83 juta orang pada Jun.
“Kategori pekerja yang merangkumi 74.9 peratus daripada jumlah penduduk bekerja merekodkan peningkatan 0.1 peratus kepada 12.62 juta orang, manakala bilangan penduduk bekerja sendiri bertambah 0.3 peratus kepada 3.16 juta orang,” katanya dalam kenyataan.
Menurut DOSM, sektor perkhidmatan terus menjadi penyumbang utama kepada jumlah guna tenaga terutamanya disokong oleh aktiviti kesenian, hiburan dan rekreasi, penginapan dan perkhidmatan makanan serta kewangan dan insurans.
“Penganggur aktif yang sedia bekerja dan aktif mencari pekerjaan merangkumi 79.3 peratus daripada jumlah penganggur iaitu meningkat 0.4 peratus kepada 412,600 orang berbanding 410,900 orang pada Jun.
“Daripada jumlah penganggur aktif tersebut, sebanyak 63.5 peratus menganggur kurang daripada tiga bulan manakala pengangguran jangka masa panjang melebihi setahun merangkumi 5.4 peratus.
“Kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 24 tahun kekal pada 10.2 peratus melibatkan 292,500 orang, manakala kadar pengangguran belia berumur 15 hingga 30 tahun meningkat kepada 6.4 peratus iaitu seramai 404,500 orang,” katanya.
Katanya lagi, bilangan penduduk di luar tenaga buruh meningkat sedikit kepada 7.11 juta orang dengan kerja rumah atau tanggungjawab keluarga merupakan komponen terbesar iaitu 43.3 peratus, diikuti kategori bersekolah atau latihan sebanyak 40.2 peratus.
“Pasaran buruh Malaysia pada Julai 2026 kekal kukuh dan berdaya tahan, namun perubahan struktur ekonomi dan kemajuan teknologi menekankan kepentingan untuk terus memperkukuh pembangunan modal insan negara,” katanya. – UTUSAN










