Johor sasar jadi hab penggambaran filem antarabangsa - Utusan Malaysia

Johor sasar jadi hab penggambaran filem antarabangsa

Lee Ting Han
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri komited memperkasa sektor ekonomi kreatif dan digital di negeri ini menerusi penstrukturan semula Unit Filem Johor di bawah pengawasan Invest Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri, Lee Ting Han berkata, langkah penstrukturan itu bagi mengatasi kekangan pentadbiran serta operasi sebelum ini, sekali gus memudahkan urusan lesen dan permit penggambaran dijalankan secara lebih cekap.

Beliau berkata, langkah tersebut antara lain mempergiat usaha menarik pengeluaran filem tempatan dan antarabangsa, dengan sekurang-kurangnya satu projek penerbitan filem antarabangsa dari Amerika Syarikat kini sedang diusahakan di Johor.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kawasan Iskandar Malaysia telah lama memberi fokus kepada sektor ekonomi kreatif atau ‘Ekonomi Jingga’ sejak 2010 hasil pelaburan Khazanah Nasional Berhad dan Kerajaan Persekutuan.

“Menerusi Iskandar Malaysia Studios, Johor mempunyai infrastruktur kukuh yang pernah menghasilkan filem dan siri drama antarabangsa terkenal seperti Marco Polo.

“Dengan meletakkan Unit Filem Johor di bawah Invest Johor, kita dapat memudah cara permohonan permit khas bagi penggambaran adegan libat letupan, penutupan jalan, serta akses ke kawasan strategik termasuk pelabuhan dan lapangan terbang,” katanya ditemui pada program KL20 at Johor 2026: The Orange Economy Chapter – Creativity Reimagined di Iskandar Malaysia Studio, di sini hari ini.

Ting Han berkata, selain memudahkan pemberian permit, kerajaan negeri turut terbuka untuk meminjamkan atau menyewakan lokasi serta fasiliti milik kerajaan negeri bagi tujuan penggambaran filem terkemuka.

Mengulas mengenai kehadiran produksi antarabangsa, beliau menjelaskan bahawa penglibatan syarikat luar membawa limpahan ekonomi yang signifikan kepada syarikat dan tenaga kerja tempatan.

“Setiap kali produksi luar datang, mereka membawa tenaga kerja yang ramai serta kepakaran baharu. Pada masa sama, mereka turut mengupah syarikat tempatan sebagai sebahagian daripada rantaian pembekalan.

“Ini bukan sahaja mengharumkan nama Johor dan Malaysia di peringkat antarabangsa, malah dapat mewujudkan ekosistem baharu bagi menarik lebih banyak pengeluaran filem antarabangsa pada masa hadapan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru penggiat filem tempatan agar memanfaatkan prasarana di Johor dan tidak hanya bertumpu kepada penggambaran di kawasan Lembah Klang.

“Banyak filem tempatan sebelum ini bertumpu di Lembah Klang. Kita berharap para penerbit tempatan dapat melihat infrastruktur serta bakat sedia ada di Johor untuk menghasilkan karya bertaraf antarabangsa,” ujarnya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×