KOTA BHARU: Pas menyerahkan urusan rundingan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kepada jawatankuasa yang ditubuhkan.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, jawatankuasa berkenaan akan mengadakan perbincangan lanjut manakala UMNO turut mengeluarkan arahan supaya urusan berkaitan kerjasama di peringkat negeri diserahkan kepada pihak berkaitan untuk tindakan selanjutnya.
“Kita ada jawatankuasa rundingan dan kita serah kepada jawatankuasa berkenaan untuk mengadakan perbincangan.
“UMNO juga ada mengeluarkan arahan dan menyerahkan kepada kerajaan negeri untuk membuat sebarang perbincangan atau rundingan. Insya-Allah, kerjasama ini dapat diteruskan,” katanya selepas merasmikan Muktamar Dewan Pemuda Pas Kali Ke-67, di sini hari ini.
Tuan Ibrahim berkata, perkara paling penting dalam rundingan tersebut adalah mencapai muafakat bagi memastikan tidak berlaku pertembungan antara parti yang bekerjasama.
Katanya, beberapa asas akan dibincangkan selepas ini sekiranya muafakat berkenaan dapat diteruskan.
“Yang penting adalah muafakat. Apabila semua pihak bersetuju, insya-Allah ada jalan. Kita akan cari mekanisme untuk mengelakkan pertembungan. Kalau ada muafakat, insya-Allah akan ada jalan untuk mengelakkan pertembungan,” ujarnya. – UTUSAN










