KUALA LUMPUR: Persidangan dan Pameran Bomba Antarabangsa Malaysia 2027 (IFCEM) akan menjadi platform strategik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk meneroka aset serta teknologi baharu bagi memantapkan keupayaan operasi pasukan.
Timbalan Pengarah JBPM (Operasi), Datuk Nordin Pauzi berkata, penganjuran bersama IFCEM dan Asia Fire Safety Expo (AFSE) 2027 membuka ruang lebih luas kepada jabatan itu untuk melihat teknologi terkini dari seluruh dunia sebelum diaplikasikan dalam operasi kebombaan dan penyelamatan negara.
“Kami akan melihat teknologi yang dipamerkan, malah ada simulasi-simulasi tertentu. Di sinilah tempat para profesional datang, berbincang, business networking dan expert networking,” katanya pada sidang selepas selepas Majlis Prapelancaran IFCEM dan AFSE 2027 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.
Menurut beliau, antara fokus utama penerokaan aset dan teknologi baharu ini adalah pengintegrasian kecerdasan buatan (AI) dalam sistem pengesanan dan ramalan kebakaran bagi membantu proses membuat keputusan yang lebih tepat dan pantas semasa operasi.
“Kami mahu satu pengesanan kepada kebakaran yang lebih tepat dan memerlukan data yang banyak. Pengesanan awal kebakaran serta ramalan data yang tepat amat bergantung kepada sokongan teknologi AI dan itu akan membantu kami membuat keputusan.
“Sebagai pemain utama dalam kebakaran dan penyelamatan, kami hendak membuat keputusan yang tepat, cepat dan tidak ada masa. No returning back time, no point of return. Sekali kita decide, mesti tepat,” katanya.
Dalam pada itu, Nordin menegaskan JBPM turut memberi tumpuan kepada teknologi keselamatan kebakaran bagi sektor baharu seperti kenderaan elektrik (EV) dan pusat data yang dijangka membawa cabaran operasi baharu kepada pasukan bomba pada masa hadapan.
“Jadi semua teknologi ini adalah teknologi yang akan berlaku suatu hari nanti di Malaysia. Jadi kami prepare for it,” katanya.
Selain itu, penganjuran bersama AFSE turut membuka ruang kepada penerokaan teknologi daripada pempamer antarabangsa termasuk daripada China yang dilihat mempunyai pelbagai inovasi terkini yang boleh diaplikasikan dalam konteks tempatan.
“Kami percaya China mempunyai banyak teknologi yang boleh kita explore dan gunakan di Malaysia sendiri.
“Bidang keselamatan kebakaran ini sangat dinamik. Kebanyakan ada benda yang baru. Dalam hal benda baru ini, mereka hendak memperkenalkan dan kami juga hendak mempelajari,” katanya. – UTUSAN








