MELAKA: Tidak adil untuk melabel seseorang sebagai penderhaka atau biadab sebelum memahami kedudukan sebenar sesuatu pertikaian, khususnya membabitkan institusi diraja.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, setiap pertikaian berkaitan kesultanan, adat dan undang-undang tubuh kerajaan negeri perlu diteliti berdasarkan peruntukan serta kedudukan setiap institusi terlebih dahulu.
“Janganlah label derhaka dan biadab mendahului kefahaman tentang duduk perkara.
“Tugas kepimpinan utama adalah menjernihkan kekusutan dengan ilmu dan kebijaksanaan, sambil memelihara martabat institusi,” katanya berucap pada Musyawarah Nasional Membongkar Polemik Tanah Melayu di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini semalam.
Walaupun tidak menyebut secara khusus kemelut yang berlaku di Negeri Sembilan, kenyataan Ahmad Zahid itu dilihat menyentuh keperluan untuk semua pihak mengurus perbezaan berkaitan institusi diraja dengan penuh tertib dan berlandaskan Perlembagaan Persekutuan.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, perbezaan politik tidak seharusnya menghakis adab terhadap institusi diraja termasuk dalam keadaan sesuatu keputusan tidak menepati kehendak mana-mana pihak.
Katanya, UMNO terus menjunjung institusi diraja serta tertib Perlembagaan Persekutuan termasuk perkara berkaitan kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu sebagaimana diperuntukkan.
“Penghormatan kepada Perlembagaan mesti kekal, waima ketika sesuatu keputusan tidak menepati kehendak kita.
“Inilah pegangan yang mesti kita wariskan, teguh mempertahankan prinsip, adil menghormati hak dan bijaksana mengurus perbezaan,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, Barisan Nasional (BN) akan memulakan dua siri pertemuan berasingan dengan dua kumpulan politik pada minggu depan bagi memperhalusi kemungkinan kerjasama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Beliau yang juga Pengerusi BN bagaimanapun enggan mendedahkan identiti gabungan yang akan ditemui itu, sebaliknya menegaskan rundingan hanya akan diputuskan selepas semua perkara diperhalusi berasaskan pertimbangan manfaat jangka sederhana dan panjang.
Menurutnya, ibu pejabat parti telah mengaturkan dua perjumpaan pada tarikh dan waktu berbeza bagi membincangkan perkara tersebut.
“Minggu depan, ibu pejabat mengaturkan dua perjumpaan berasingan di tarikh dan waktu berbeza, dua kumpulan berlainan.
“Baru nak berbincang, nak dedah macam mana? Bincang dululah,” katanya.
Mengenai gabungan yang paling hampir untuk bekerjasama, beliau berkata, segala keputusan akan dibuat berdasarkan keseimbangan antara mudarat dan manfaat kepada negara serta gabungan itu sendiri. – UTUSAN











