PETALING JAYA: Semua pihak diingatkan supaya tidak mempolitikkan keputusan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memberikan pengampunan bersyarat kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk Dr. Loga Bala Mohan berkata, mana-mana pihak tidak seharusnya mempolitikkan isu berkenaan demi kepentingan peribadi atau politik.
Katanya, walaupun perbezaan pandangan dibenarkan dalam sistem demokrasi, ia perlu disuarakan secara bertanggungjawab.
“Keputusan yang dicapai dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Ke-64 itu perlu dihormati kerana Najib masih menjalani baki hukuman secara tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta serta pematuhan terhadap semua syarat yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas beberapa kenyataan berhubung keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan semalam yang membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara secara tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.
Loga Bala berkata, keputusan berkenaan merupakan kuasa pengampunan diraja yang diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
“Sehubungan itu, sebarang perbincangan mengenai pelaksanaan kuasa prerogatif berperlembagaan berkenaan perlu dilakukan dengan penuh hormat terhadap institusi Yang di-Pertuan Agong dan proses perlembagaan.
“Lembaga Pengampunan mempertimbangkan perkara yang dibawa melalui proses berperlembagaan dengan mengambil kira pelbagai keadaan serta perkara berkaitan sebelum keputusan dibuat.
“Oleh itu, keputusan yang diumumkan wajar dihormati oleh semua rakyat Malaysia,” katanya.
Menurut Loga Bala, pengampunan bersyarat itu adalah jelas iaitu jika Najib melanggar syarat yang ditetapkan atau gagal membayar denda RM50 juta, pengampunan berkenaan boleh dibatalkan dan beliau perlu kembali ke penjara.
“PPP merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan menjunjung kasih kepada Seri Paduka atas pertimbangan terhadap permohonan pengampunan itu.
“Malaysia mesti terus menjunjung kedaulatan undang-undang, institusi perlembagaan serta menghormati Perlembagaan Persekutuan,” katanya. – UTUSAN











