Isu ruang terhad di SMK Majakir selesai

Isu ruang terhad di SMK Majakir selesai

ARMIZAN Mohd. Ali bersama para pelajar SMK Majakir, Papar, Sabah ketika majlis penyerahan projek pembinaan blok baharu asrama sekolah berkenaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyerahan projek pembinaan blok baharu asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Majakir, Papar, Sabah bukan sahaja meningkatkan kapasiti penginapan murid, malah membuka ruang tambahan untuk kegunaan pembelajaran.

Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, langkah itu memberi manfaat tambahan kepada pihak sekolah yang sebelum ini berdepan kekangan ruang, susulan penggunaan blok bilik darjah dan pentadbiran sebagai asrama.

Beliau berkata, projek bernilai RM18.23 juta itu siap pada 30 April lalu dan merangkumi pembinaan dua blok bangunan asrama dua tingkat serta pelbagai kemudahan berkaitan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dengan adanya blok baharu ini, bangunan asrama lama akan dipertimbangkan untuk dikembalikan kepada fungsi asalnya sebagai bilik darjah.

“Langkah ini akan memberikan manfaat tambahan kepada pihak sekolah melalui penyediaan ruang pembelajaran yang lebih mencukupi dan kondusif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata, sebelum ini asrama lama SMK Majakir hanya mampu menempatkan 160 murid terdiri daripada 80 murid lelaki dan 80 murid perempuan, dengan kapasiti berkenaan digunakan sepenuhnya.

Katanya, kekangan kapasiti menyebabkan sebahagian permohonan murid yang memerlukan kemudahan asrama, khususnya mereka yang tinggal jauh dan sukar berulang-alik setiap hari terpaksa ditolak.

“Penggunaan bangunan yang tidak dibina khusus sebagai asrama turut menyebabkan pelbagai kekangan dari segi ruang, susun atur, kemudahan, keselesaan dan pengurusan penghuni,” katanya.

Menurutnya, antara kekangan sebelum ini termasuk bilik warden asrama lelaki yang terpaksa dijadikan bilik murid manakala sebuah bilik kelas digunakan sebagai bilik persediaan belajar.

Beliau berkata, asrama putera juga tidak mempunyai bilik sakit khusus, selain keadaan bilik penginapan yang sesak menjejaskan keselesaan dan kualiti rehat murid.

Menerusi projek baharu itu, kapasiti asrama kini meningkat kepada 300 murid dan dilengkapi dua rumah warden, dua bilik dormitori orang kurang upaya (OKU), dua bilik umum, dua bilik isolasi serta dua pejabat warden.

Kemudahan lain termasuk dua bilik penyambut tetamu, dua gelanggang sukan, pejabat penyelia asrama dan dewan makan berkapasiti 300 orang.

Armizan berkata, penyerahan projek berkenaan merupakan manifestasi keprihatinan kerajaan dalam memastikan murid mendapat akses kepada kemudahan pendidikan yang lebih selesa, selamat dan kondusif. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×