KUALA LUMPUR: Pemilihan Irfan Zaini bagi melakonkan karakter Karamjit Singh dalam filem Terbang dipilih sendiri oleh ikon rali itu.
Bercerita lanjut, Irfan atau Muhammad Irfan Mohamed Zaini, 31, berkata Karamjit sendiri bersama pihak Astro yang mencadangkan agar dia dipilih sebagai watak utama walaupun pengarah, Chiu Keng Guan belum mengenalinya.
“Dia datang peluk saya, dia kata sangat teruja. Dia dan Astro Shaw yang mencadangkan nama saya dan kemudian barulah pengarah kenal saya.
“Sebelum ini pengarah tak kenal saya lagi, dia belum tengok Blood Brothers ketika itu. Karamjit kata ‘Awaklah yang paling sesuai untuk merealisasikan filem ini sebagai diri saya’.
“Saya rasa itu sudah macam menang Anugerah Oscar. Bila dengar sendiri daripada Karamjit, saya rasa okey Alhamdulillah menjadi lakonan saya,” katanya semasa sidang media filem Terbang di TGV Suria KLCC, baru-baru ini.
Tambah Irfan, dia bukanlah seorang yang mengikuti perkembangan sukan rali dan tidak mengenali Karamjit sebelum itu.
Bagaimanapun, penglibatannya sepanjang menjayakan Terbang banyak mengubah cara pandangnya terhadap sumbangan atlet kepada negara.
“Saya sangat bertuah sebab saya jujur dengan semua saya pun pada awalnya tak kenal Karamjit.
“Saya kenal dia sebagai seorang pelumba stunt tapi bila dapat tahu fasal dia saya sangat malu sebagai rakyat Malaysia bila tak mengenali dia dan tidak tahu pencapaiannya.
“Saya rasa filem ini akan membuka mata kepada ramai orang terutamanya gen Z yang tak kenal dia lagi,” katanya.
Katanya, sudah masanya anak muda masa kini mengenali hero dalam negara dan menjadikannya contoh baik untuk mereka.
“Kenapa kita asyik sokong negara lain seperti FIFA tapi kita ada benda yang boleh kita bangga.
“Kita ada wira sendiri yang adik-adik, cucu-cucu dan anak-anak kita boleh mengambil sebagai contoh,” tuturnya.
Irfan memegang watak utama sebagai Ajeet Singh dalam filem Terbang yang diinspirasikan daripada kisah hebat legenda rali negara, Karamjit Singh.
Filem yang mula ditayangkan hari ini turut dibintangi Zizan Razak, Jack Tan, Nam Ron, Shweta Sekho dan Diana Danielle. -UTUSAN










